Dua beradik maut, pemandu treler positif dadah rempuh rumah

Treler merempuh sebuah rumah menyebabkan dua beradik maut dalam kejadian di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin, di Kampung Ketapang Hilir di sini, awal pagi Sabtu. Foto Polis Pekan. (Gambar kecil: Nurnazatul Fasiha, Mohd Waldon Faris)
Treler merempuh sebuah rumah menyebabkan dua beradik maut dalam kejadian di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin, di Kampung Ketapang Hilir di sini, awal pagi Sabtu. Foto Polis Pekan. (Gambar kecil: Nurnazatul Fasiha, Mohd Waldon Faris)
A
A
A

PEKAN - [DIKEMAS KINI] Dua beradik maut selepas rumah dialami mereka dirempuh sebuah treler yang dipandu pemandu positif dadah dalam satu kejadian di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin, di Kampung Ketapang Hilir di sini, awal pagi Sabtu.

Mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, ibu bapa mereka, Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal,19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, treler membawa muatan siling kapur dipandu seorang lelaki dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa dari runtuhan rumah pada Sabtu. Foto JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa dari runtuhan rumah pada Sabtu. Foto JBPM

“Ketika melalui selekoh ke kiri lori dipandu lelaki terbabit hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

“Kesan dari rempuhan itu, seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala empat lagi penghuni lain telah dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

"Seorang lagi mangsa, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan pada jam 1.30 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang cuai dan hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang ditemui dibawah treler yang terbabas merempuh rumah di Kampung Ketapang Hilir, Pekan pada Sabtu.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang ditemui dibawah treler yang terbabas merempuh rumah di Kampung Ketapang Hilir, Pekan pada Sabtu.

"Pemandu treler berkenaan didapati positif dadah jenis metahmphetamine atau amphetamine selepas ujian saringan awal dijalankan oleh pihak Hospital Pekan.

“Pemandu lori yang mengalami cedera ringan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pekan.

"Penahanan akan dibuat sebaik sahaja selesai rawatan," katanya.

Mohd Zaidi juga memaklumkan, kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!