Malaysia bantu segerakan proses damai di Selatan Thailand

Anwar (tengah) pada sidang media sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, pada Sabtu.
Anwar (tengah) pada sidang media sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Malaysia menyatakan pendirian akan membantu menyegerakan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkaitan usaha itu diserah kepada Thailand dan masyarakat Islam di negara itu manakala Malaysia sebagai fasilitator akan bertindak sebagai pemangkin usaha berkenaan.

“Isu kedamaian di Selatan Thailand ialah isu domestik Thailand, perlu jelas, bukan isu Malaysia.

“Tetapi oleh sebab hubungan baik kita dengan Thailand, kita bekerjasama supaya mendukung usaha damai secara berkesan,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Rantau Panjang di sini dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, pada Sabtu.

Dalam lawatan itu, Anwar turut bertemu Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin bagi membincangkan isu-isu sempadan serta sosioekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia akan memberi komitmen dari setiap aspek yang diperlukan bagi menjayakan usaha itu.

“Kami akan memberikan komitmen apa-apa sahaja yang diperlukan sama ada keselamatan, ekonomi sosial dan pendidikan.

“Kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri di utara juga akan dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Dalam kenyataan pelantikan itu, kerajaan yakin terhadap keupayaan Mohd Rabin untuk merealisasikan misi dengan baik, berkesan dan mampu mencapai dampak yang positif serta signifikan kepada Proses Dialog Damai Selatan Thailand itu.

Pelantikan Mohd Rabin bagi menggantikan Jeneral Prof Tan Sri Panglima (B) Zulkifli Zainal Abidin yang menamatkan tugas sebagai fasilitator itu pada 30 Jun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!