Kemelut Pas-Gerakan selesai - Hamzah

Antara pemimpin PN dilihat sedang mengadakan perbincangan antaranya Tuan Ibrahim, Takiyuddin serta Dominic. - Foto: FB Hamzah
Antara pemimpin PN dilihat sedang mengadakan perbincangan antaranya Tuan Ibrahim, Takiyuddin serta Dominic. - Foto: FB Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Ketegangan antara dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) dianggap sudah selesai menerusi perbincangan yang diadakan bersama pimpinan tertinggi parti terlibat.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin malah menyifatkan kemelut yang berlaku antara Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu merupakan lumrah dalam hubungan sesebuah keluarga.

"Kocakan air dalam cawan itu biasa dalam hal ehwal keluarga.

"Semuanya telah selesai menerusi musyawarah adik-beradik," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Hantaran yang dimuat naik bersama sekeping gambar memaparkan beberapa pemimpin kanan PN sedang mengadakan perbincangan di Gua Musang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Turut kelihatan antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Sebelum ini kedua-dua parti itu berbalas kenyataan membabitkan isu penglibatan syarikat arak dalam program sumbangan dana kepada sebuah sekolah vernakular, baru-baru ini.

Kedua-dua pihak menzahirkan pandangan berbeza hingga mendorong segelintir pemimpin Pas mengkritik Gerakan secara terbuka dan sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!