Sukma 2024: Ganjaran RM10,000 atlet Selangor raih pingat emas

Amirudin (tengah) bergambar bersama barisan atlet Selangor pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Sukma XXI, Sarawak 2024 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 pada Sabtu.
Amirudin (tengah) bergambar bersama barisan atlet Selangor pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Sukma XXI, Sarawak 2024 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 pada Sabtu.
A
A
A

GANJARAN sehingga RM10,000 menanti atlet Selangor yang berjaya merangkul pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ganjaran itu ditawarkan buat 704 atlet yang akan berjuang pada acara sukan dwitahunan berlangsung 17 Ogos sehingga 24 Ogos ini.

Menurutnya, jumlah ganjaran ditawarkan mengikut kategori individu dan pasukan membabitkan kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

"Bagi kategori individu, atlet membawa pingat emas akan menerima ganjaran RM10,000 manakala bagi acara berpasukan lima orang dan ke bawah akan menerima RM5,000 setiap seorang.

"Sementara bagi sukan berpasukan melebihi lima orang seperti bola sepak, hoki dan ragbi akan menerima ganjaran RM3,000 seorang jika membawa pingat emas," katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Sukma XXI, Sarawak 2024 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 pada Sabtu.

Kontinjen Selangor akan menghantar seramai 1,050 peserta merangkumi 704 atlet, 213 pegawai pasukan dan 133 sekretariat pasukan.

Selangor akan menyertai kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan dan meletakkan sasaran membawa pulang sebanyak 61 pingat emas.

Amirudin berkata, terdapat sedikit ubah suai penetapan ganjaran sempena Sukma pada kali ini sebagai suntikan semangat buat atlet bertanding.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pemenang pingat perak dan gangsa juga akan menerima ganjaran yang akan diumumkan kemudian.

Dalam pada itu, beliau meletakkan keyakinan Selangor mempunyai keupayaan menjadi juara keseluruhan pada Sukma kali ini.

"Kali terakhir kejayaan itu dicapai pada 2016 dan Selangor mempunyai peluang untuk menjadi juara Sukma kali ini.

"Sukma bukan sekadar pencapaian peringkat individu dan kumpulan tapi ini juga merupakan sumbangan besar kepada negeri Selangor," katanya.

Edisi lalu, Selangor meraih 32 emas, 54 perak dan 45 gangsa dengan menamatkan temasya di tempat keempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!