Calon BN mahu teruskan pembangunan fizikal, modal insan

Mohd Azmawi Fikri
Mohd Azmawi Fikri
A
A
A

GUA MUSANG - Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berjanji untuk meneruskan pembangunan fizikal dan modal insan jika dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pembangunan fizikal berkenaan termasuklah membabitkan Projek Hidrolektrik Nenggiri dan usaha menambah pendapatan rakyat menerusi projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR).

"Sebelum ini memang dah ada pembangunan di DUN ini tapi kita nak tambah lagi demi manfaat rakyat.

"Pembangunan modal insan juga mainkan peranan yang penting, jadi akan kita beri perhatian," katanya ketika ditemui pada Program Bertemu Mata Bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jerek di sini pada Sabtu.

PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi, 38, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail, 41.

Mengulas mengenai pertembungan dua penjuru tersebut, Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awi berkata, beliau dan calon PN yang menggunakan logo Pas masing-masing mempunyai peluang untuk menang.

"Cuma sekarang kami kena pandai merebut hati pengundi dan saya akan terus berusaha.

"Jadi saya harap pengundi Nenggiri berilah peluang kepada saya untuk jadi wakil rakyat di sini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohd Azmawi, untuk peringkat awal kempen, beliau akan mendekati pengundi dari pintu ke pintu dan berazam untuk berjumpa seramai mungkin rakyat dari segenap lapisan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!