Gambaran positif tingkat kerjasama ekonomi Malaysia, Thailand
PASIR MAS - Pembinaan segera Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang, di sini, memberi gambaran positif peningkatan kerjasama dari segi pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan dicapai antara kedua-dua negara antara lain turut bagi memberi tumpuan kepada pelaksanaan beberapa projek utama yang sekian lama tertangguh sehingga ada yang mengambil masa puluhan tahun.
“Dalam pertemuan tadi (bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin), kami minta pembinaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang disegerakan.
“Menjadi keutamaan projek kerjasama antara Thailand dan Malaysia ini beri gambaran positif tentang peningkatan kerjasama dari segi perkembangan ekonomi kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Rantau Panjang, di sini dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, pada Sabtu.
Beliau berkata, turut akan bincang dengan kerajaan Kelantan untuk mengadakan beberapa projek pembangunan ekonomi sementara jambatan tersebut siap.
“Kami akan adakan perbincangan dengan kerajaan negeri sementara jambatan ini siap. Kita juga harus adakan beberapa projek pembangunan dari sudut peluang-peluang perniagaan, gerai, warung dan tempat perniagaan yang lebih baik di kawasan berdekatan.
“Projek ini supaya tidak hanya jambatan tetapi ada rangkaian dan peningkatan perniagaan atau perdagangan di sebelah Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu turut akan menaik taraf jambatan yang sedia ada, Jambatan Muhibbah yang menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok.
“Kita juga akan memperbaiki dan menaik taraf jambatan sedia ada yang disiapkan pada 1971 selepas siap jambatan kedua ini.
“Jadi kedua-duanya akan digunakan, sebaik siap jambatan baru, jambatan pertama akan dinaiki taraf, terlalu banyak tumpuan diberi kepada Kelantan sekarang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!