Tuisyen percuma guna teknologi AR

Sebahagian pelajar mengikuti kelas tambahan percuma melalui Projek Tuisyen PINTAR.
Sebahagian pelajar mengikuti kelas tambahan percuma melalui Projek Tuisyen PINTAR.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 300 pelajar Tingkatan Lima dari keluarga keluarga berpendapatan rendah (B40) dan asnaf menerima manfaat kelas tambahan secara percuma melalui pelaksanaan Projek Tuisyen Rakyat Anak Kedah (PINTAR) Fasa 2.

Pengerusi Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB), Shamsul Qamar Abd Rani berkata, Tuisyen PINTAR yang merupakan tuisyen pertama di Malaysia mengaplikasikan penggunaan teknologi realiti terimbuh (AR) dalam proses pembelajaran ini ditaja sepenuhnya KAKB.

Beliau berkata, penggunaan teknologi ini akan meningkatkan fokus dan tumpuan pelajar ketika mengikuti sesi pembelajaran.

"Melalui teknologi AR, pelajar boleh merasai pengalaman belajar dalam bentuk 2D atau 3D.

"Jadi, dari segi impak pengajaran lebih hebat memandangkan apa yang cikgu cakap, pelajar boleh lihat imejnya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, pelajar terlibat akan mengikuti empat mata pelajaran termasuk Sejarah, Matematik, Bahasa Inggeris serta Bahasa Melayu di kelas tambahan percuma itu.

Beliau memaklumkan, sebanyak lima daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Kulim, Sik dan Kuala Muda dipilih untuk perlaksanaan Projek Tuisyen Pintar Fasa dua pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Qamar
Shamsul Qamar

Dalam perkembangan sama, Shamsul Qamar memaklumkan, pelaksanaan kelas tambahan percuma terbabit mendapat agihan wakalah zakat daripada Etiqa Takaful sebanyak RM300,000.

Beliau berkata, Tuisyen PINTAR ini juga mendapat kerjasama dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

"Kami di pihak KAKB berharap Projek Tuisyen PINTAR dilaksanakan akan mengubah sekurang-kurangnya 300 pelajar dan keluarga nanti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!