18,122 pertubuhan, pengusaha sektor pertanian Pulau Pinang dibanci

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kiri) sedang menyauk ikan ketika lawatannya ke sangkar ikan di Pulau Jerejak pada Sabtu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kiri) sedang menyauk ikan ketika lawatannya ke sangkar ikan di Pulau Jerejak pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pulau Pinang telah membanci 18,122 pertubuhan dan pengusaha dalam sektor pertanian meliputi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur, perhutanan dan pembalakan di negeri ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sehingga hari ke-29 bancian dijalankan, Pulau Pinang telah mencapai 40 peratus bancian yang telah dijalankan.

MOHD UZIR
MOHD UZIR



Menurutnya, peratusan itu menunjukkan Pulau Pinang merupakan negeri tertinggi di Malaysia dalam kedudukan prestasi bancian.

"Pada hari ke-29 kedudukan prestasi pembancian di seluruh negara adalah 31 peratus yang mana, Pulau Pinang adalah negeri tertinggi peratusnya iaitu 40 peratus yang telah dijalankan.

"Kegunaan tanah pertanian di Pulau Pinang adalah 36,040 hektar yang mana, bancian melibatkan penggunaan tanah, produktiviti penghasilan dan teknologi yang digunakan.

"Kita juga membuat bancian daripada segi corak pekerja atau pemilik yang mengusahakan sesuatu pertanian. Data-data ini kita perolehi daripada pelbagai agensi," katanya ketika ditemui di Jeti Seri Jerejak, Bayan Lepas di sini pada Sabtu.

Mohd Uzair sebelum itu mengadakan lawatan kerja rasmi sehari di Pulau Pinang yang melibatkan kawasan Penaga, Pulau Jerejak dan Sungai Bakap.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sumbangan pertanian di Pulau Pinang tidak mencecah 3 peratus namun daripada segi nilai sumbangan, negeri ini mencatatkan RM2.2 bilion.

"Berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sektor pertanian di Pulau Pinang menyumbang sebanyak 1.9 peratus kepada KDNK negeri dengan nilai ditambah berjumlah RM2.2 bilion.

"Subsektor perikanan pula merupakan penyumbang terbesar sektor perikanan di negeri ini dengan sumbangan 40 peratus, diikuti subsektor tanaman (33 peratus) dan ternakan (27 peratus) pada tahun 2023.

"Antara sektor terbesar di Pulau Pinang adalah ternakan ikan hiasan berbanding negeri-negeri lain. Kita jangka, walaupun Pulau Pinang, sektor industri berkembang lebih laju berbanding pertanian, tetapi masih ada ruang untuk kita jalankan dasar atau program untuk memperkukuhkan sektor pertanian ini," tambahnya.

Mohd Uzir (tengah) sedang diberi penerangan mengenai sangkar ikan oleh pemilik di Pulau Jerejak.
Mohd Uzir (tengah) sedang diberi penerangan mengenai sangkar ikan oleh pemilik di Pulau Jerejak.



Uzair yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata, terdapat cabaran yang dihadapi oleh pembanci dalam melaksanakan Banci Pertanian di Pulau Pinang antaranya segelintir responden yang tidak memahami tujuan bancian dijalankan.

"Terdapat segelintir responden ragu-ragu dan bimbang untuk mendedahkan maklumat pertanian. Ada juga yang tidak terlibat dengan program yang dilaksanakan oleh kerajaan menyebabkan mereka merasakan tidak perlu untuk memberi maklumat dalam bancian yang dijalankan.

"Diharapkan mereka yang terlibat dengan sektor pertanian di Pulau Pinang dapat memberi kerjasama yang erat dan hasil daripada usaha ini, kita boleh jangka Pulau Pinang bakal menyelesaikan bancian dengan lebih awal.

"Cuma terdapat mereka yang mungkin tidak menyertai program-program kerajaan yang tidak tampil untuk memberi kerjasama kerana apa yang kita tekankan di sini, negara memerlukan maklumat kedudukan sektor pertanian negara untuk kita melihat keseluruhan bekalan serta pengeluaran," katanya.

Tambah beliau, negara juga memerlukan maklumat untuk menanda aras dengan keperluan permintaan.

"Mereka yang mengusaha sendiri tanpa apa-apa program kerajaan, mereka mungkin tidak nampak bagaimana ia memberi kesan kepada mereka nanti.

"Tetapi apa yang boleh kita nyatakan, negara tidak ingin berada dalam keadaan siapa yang mengeluarkan sesuatu pengeluaran itu menyebabkan berlaku pengeluaran berlebihan dan mengakibatkan kestabilan tidak dapat diperolehi," katanya.

Jelas beliau, bagi mengatasi perkara itu, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan seperti memberi penerangan kepada masyarakat di samping sesi bersama komuniti setempat terus dipergiatkan.

"Usaha ini dijangka dapat membantu memperkemaskan pengoperasian pembancian di lapangan. Oleh demikian, saya memohon agar pertubuhan serta pengusaha pertanian di Pulau Pinang memberi kerjasama kepada DOSM

dalam menjayakan aktiviti pembancian demi kelestarian sektor pertanian negara sejajar dengan tema Banci Pertanian 2024 iaitu Kunci Kemajuan Pertanian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!