480 ahli Bersatu Nenggiri sertai UMNO

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) dan Che Ariffin (tiga dari kiri) dalam sidang media di PDM Jerek pada Sabtu.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) dan Che Ariffin (tiga dari kiri) dalam sidang media di PDM Jerek pada Sabtu.
A
A
A

GUA MUSANG - Seramai 480 ahli daripada 12 cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) DUN Nenggiri mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO berkuat kuasa pada Sabtu.

Kumpulan tersebut diketuai bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kesemua ahli Bersatu kecewa dengan tindakan Pas yang melanggar semangat setiakawan selepas meletakkan ahlinya bertanding di PRK DUN Nenggiri.

“Penyertaan mereka kerana telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Bersatu. Hal ini berlaku mungkin kerana mereka merasakan bahawa dalam kerjasama antara Bersatu dan Pas, Pas bukan sahaja menunggang Islam tetapi menunggang rakan poitiknya, Bersatu.

“Mengikut formula kerusi Nenggiri sebelum ini dimenangi parti (Bersatu) maka calon dari parti itulah sepatutnya bertanding tapi sebaliknya.

"Calon yang mewakili PN (seperti) diketahui ramai adalah ahli Pas yang berhenti dari parti tersebut semata-mata kerana mahu menjadi calon. Ertinya yang bertanding tetap orang Pas,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima borang kemasukan ahli baharu UMNO pada Program Bertemu Mata bersama beliau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jerek di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid mendakwa, tindakan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail menyertai Bersatu hanyalah ingin mengelirukan penyokong Bersatu kerana hakikatnya beliau mewakili Pas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Che Ariffin mendakwa, penyertaan seramai 480 ahli Bersatu ke dalam UMNO menjadikan kesemua cawangan Bersatu di Nenggiri lumpuh.

“Jumlah ahli Bersatu Nenggiri ketika ini dah jadi kosong,” dakwanya.

Katanya, 12 cawangan Bersatu yang keluar parti itu ialah Perasu, Renok Baru, Sungai Asap, Jeram Tekoh, Limau Kasturi, Bertam Baru, Bertam Lama, Jerek, Pasir Tumbuh, Meranto, Kala Star dan SEDC (Sungai Teras).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!