UMNO hantar notis tuntutan RM100 juta kepada ADUN Rembia

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

GUA MUSANG - UMNO sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis untuk pembayaran ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta ekoran tindakannya menyertai Pas.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jailani perlu melunaskan pembayaran berkenaan kepada parti.

“Untuk ADUN Rembia, LOD telah dikeluarkan kepada beliau untuk membayar RM100 juta,” katanya dalam sidang media pada Program Bertemu Mata bersama beliau di Pusat Daerah Mengundi Jerek.

Pada Khamis lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu diambil sebagaimana perjanjian yang dimeterai oleh wakil rakyat sebelum ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terdahulu mengumumkan Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Ahmad Zahid menegaskan, semua wakil rakyat BN terikat dengan ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta termasuk calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani jika beliau menjadi wakil rakyat.

“Semua calon BN terikat dengan akuan sumpah dan perjanjian untuk tidak meninggalkan parti dan jika meninggalkan parti bon yang harus dibayar semula adalah bernilai RM100 juta,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!