Syarikat pengendali kapal perlu tingkat lagi keselamatan, patuhi SOP

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Mohd Shukri)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Mohd Shukri)
A
A
A

SHAH ALAM - Semua syarikat pengendali perkapalan perlu meningkatkan lagi tahap keselamatan dan memastikan semua anak kapal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Presiden Persatuan Jurutera Marin Malaysia, Mohd Shukri Mohd Yusoff berkata, cadangan tersebut bertujuan bagi mengelakkan insiden seperti tragedi letupan bilik enjin sehingga meragut nyawa dua anak kapal di perairan Samalaju, Bintulu, Sarawak berulang.

"Persatuan Jurutera Marin Malaysia menggesa pihak berkuasa serta pihak terlibat agar menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terperinci untuk mengenal pasti punca kejadian ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan dua pekerja kapal maut manakala seorang parah dalam letupan di sebuah kapal di perairan Samalaju pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, dua mangsa maut yang belum diketahui identiti adalah kelasi kapal dari Sibu berusia 25 tahun dan rakannya pembantu jurutera berusia 36 tahun, dari Perak.

Ujarnya, seorang lagi mangsa juga lelaki tempatan berusia 22 tahun dari Sabah dilaporkan cedera parah pada muka dan tangan.

Dalam pada itu, menurut Mohd Shukri, pihaknya turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anak kapal yang terkorban akibat kemalangan tersebut.

"Kami berharap agar kebajikan keluarga anak kapal yang terlibat mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!