Kayuh basikal cari dana RM2.2 juta bina pusat jagaan warga emas

Saad (tengah) memulakan kayuhan rasmi pada pelepasan kayuhan sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-67 di kawasan Koperasi Sidam Kanan Kampong Guar Lobak, Padang Serai, pada Jumaat.
Saad (tengah) memulakan kayuhan rasmi pada pelepasan kayuhan sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-67 di kawasan Koperasi Sidam Kanan Kampong Guar Lobak, Padang Serai, pada Jumaat.
A
A
A

JITRA - Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka (Pewaris) melancarkan Kayuhan Solo Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-67 di Semenanjung bagi mengumpul dana pembinaan sebuah kompleks pusat jagaan warga emas bernilai RM2.2 juta.

Setiausahanya, Azmi Mat Napiah berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu telah melantik seorang bekas wartawan, Saad Nordin sebagai duta untuk menyebarkan risalah berkaitan pembinaan kompleks berkenaan.

Menurutnya, pemilihan Saad yang juga seorang pengayuh basikal dan telah mengelilingi Semenanjung beberapa kali adalah tepat kerana berpengalaman selain mengenali masyarakat setempat yang bakal dikunjunginya.

"Pewaris sedang mengumpul dana bagi membina sebuah kompleks pusat jagaan warga emas di sebidang tanah yang telah dibeli di Bukit Napai, Mukim Binjai, Jitra, Kedah yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta.

"Kami berharap penyebaran risalah yang dibuat Saad akan memberi ruang kepada masyarakat untuk menyalurkan sumbangan melalui akaun yang tertera dalam risalah berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Azmi (kiri) melantik Saad sebagai duta Pewaris bagi mengumpul dana pembinaan sebuah kompleks pusat jagaan warga emas bernilai RM2.2 juta.
Azmi (kiri) melantik Saad sebagai duta Pewaris bagi mengumpul dana pembinaan sebuah kompleks pusat jagaan warga emas bernilai RM2.2 juta.

Azmi memberitahu, buat sementara waktu, warga emas yang diuruskan oleh Pewaris kini ditempatkan di sebuah asrama sementara yang disewa di Kampung Lahar, Mukim Malau di sini.

Sementara itu, Saad berkata, beliau terbuka hati untuk membantu NGO itu menyebar risalahnya kerana bersimpati dengan warga emas yang tersisih daripada keluarga dan ada yang menjadi gelandangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang kayuhan seluruh Malaysia beberapa kali sebelum ini, beliau sedih melihat warga emas yang terbiar tanpa pembelaan dan tiada tempat tinggal.

“Saya mendengar dan melihat sendiri rintihan mereka sepanjang kayuhan, namun apa daya saya untuk membantu, jadi dengan kepercayaan diberi oleh Pewaris, saya harap sekelumit bantuan yang saya beri sepanjang kayuhan ini, masyarakat dan dermawan dapat menghulur bantuan atau derma kepada Pewaris.

"Semoga kayuhan ini berjaya membantu Pewaris mengumpul dana bagi mendirikan kompleks pusat jagaan warga emas," katanya.

Tambahnya, kayuhan solo kemerdekaan dimulakan pada Jumaat di Padang Serai, dan dijangka berakhir pada 16 September iaitu Hari Malaysia di Asrama Sementara Pusat Jagaan Warga Emas di Kampung Lahar, Mukim Malau, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!