KALA Fest perlu anjur setiap tahun, buat luar dari Kelantan

Mohamed Fadzli (kanan) ketika melawat reruai KALA Fest selepas Majlis Perasmian Penutup KALA Fest di AEON Mall Shah Alam, Seksyen 13 pada Sabtu.
Mohamed Fadzli (kanan) ketika melawat reruai KALA Fest selepas Majlis Perasmian Penutup KALA Fest di AEON Mall Shah Alam, Seksyen 13 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Kelantan Authentic Lifestyle and Art Festival (KALA Fest) perlu terus menonjolkan nilai-nilai keistimewaan budaya Kelantan kepada semua masyarakat di seluruh negara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, acara yang berlangsung selama enam hari bermula 30 Julai itu, diyakini dapat menarik lebih ramai minat masyarakat sekiranya dianjurkan setiap tahun dan dibuat luar daripada negeri berkenaan.

"Kalau mereka tidak datang ke Kelantan, mereka tidak tahu apa yang ada di sana. Atas sebab itu saya sangat setuju kalau KALA Fest ini setiap tahun dibuat luar dari Kelantan.

"Kita datang ke sini, untuk mengajak orang yang berada di kawasan ini dan seluruh negara supaya datang ke Kelantan.

"Nanti di sana kita akan tonjolkan, buktikan apa yang baik berkenaan dengan Kelantan," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Penutup KALA Fest di AEON Mall Shah Alam, Seksyen 13 pada Sabtu.

Turut hadir Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Datuk Zamri Ismail berkata, acara KALA Fest diharap menjadi platform yang menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan pelbagai bidang untuk memajukan ekonomi diri dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasir (tiga dari kanan), Mohamed Fadzli (kanan), Zamri (lima dari kiri) bergambar bersama jemputan dan pengiring Majlis Perasmian Penutup KALA Fest di AEON Mall Shah Alam, Seksyen 13 pada Sabtu.
Muhammad Nasir (tiga dari kanan), Mohamed Fadzli (kanan), Zamri (lima dari kiri) bergambar bersama jemputan dan pengiring Majlis Perasmian Penutup KALA Fest di AEON Mall Shah Alam, Seksyen 13 pada Sabtu.

"KALA Fest adalah manifestasi satu sokongan dan dukungan PKINK kepada usaha kerajaan Kelantan dalam mempromosikan destinasi pelancongan sempena tahun melawat Kelantan 2024.

"Usaha-usaha murni di bawah jenama KALA ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memajukan usahawan KALA dan Kelantan agar terus berusaha memajukan diri bagi mencapai status usahawan berjaya.

"Saya berharap penganjuran KALA Fest ini dapat diadakan dengan lebih praktikal dan gemilang pada masa akan datang, insya-ALLAH," ujarnya.

KALA Fest 2024 merupakan penganjuran tahun keenam di mana tahun ini berkonsepkan makanan, keluarga dan festival selari dengan tema Tahun Melawat Kelantan 2024.

PKINK menerusi anjuran KALA Fest ini, turut menampilkan 19 reruai mewakili pengusaha-pengusaha produk tempatan bermula dari makanan, produk IKS dan kraf tangan

Untuk penganjuran kali ini, PKINK telah menawarkan hadiah berjumlah RM10,000 kepada orang ramai yang menyertai pertandingan secara percuma yang diadakan sepanjang enam hari KALA Fest berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!