Boleh dakwah di rumah ibadat agama lain - Mufti

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohamad Sabri)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohamad Sabri)
A
A
A

SHAH ALAM - Orang Islam dibenarkan masuk ke rumah ibadat agama lain dengan tujuan untuk menyebarkan dakwah dan syariat Islam.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, namun sekiranya hadir tanpa sebarang justifikasi, maka ia bertentangan dengan syariat agama.

“Tidak boleh kita pergi (rumah ibadat agama lain) tanpa tujuan. Datang memperkenalkan Islam dan untuk berdakwah, dibolehkan. Bukan tujuan menyatakan Islam sama dengan agama lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Sebelum ini tular sebuah video di media sosial memaparkan program Lawatan Harmoni Terbimbing untuk guru-guru agama dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Kasipillay, Ipoh, Perak.

Video itu mencetuskan kebimbangan warga maya apabila seorang wanita daripada JAIPk menyifatkan terdapat banyak persamaan antara agama Hindu dan Islam.

Tegas Mohamad Sabri, seorang Muslim tidak boleh menyamakan Islam dengan agama lain kerana ia bertentangan prinsip akidah.

“Sebab (kedudukan) Islam tinggi dan (agama) satu-satunya yang diperakui ALLAH SWT.

“Tidak boleh samakan agama Islam dengan agama lain. Di Malaysia, Islam ialah agama perlembagaan dan ketua agama di negeri-negeri juga ialah orang Islam, jadi kena ikut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!