Ayuh bawa pingat emas pertama negara
[DIKEMAS KINI] SAYA bukanlah peminat sukan yang tegar. Maksudnya, saya tidak taasub atau tergila-gila menjadi penyokong setia mana-mana pasukan atau individu sukan tertentu pada peringkat antarabangsa yang saya tidak kenal atau terletak jauh di negara saya anggap asing.
Misalnya, sewaktu saya berkhidmat dengan Bahagian Melayu BBC di London selama enam tahun antara 1976 hingga 1982, saya boleh sahaja menjadi penyokong kelab terkenal seperti Liverpool atau Manchester United (MU) yang digilai ramai peminat bola sepak di negara ini.
Namun, prinsip saya adalah untuk menyokong kelab bola sepak di mana saya tinggal.
Selama berada di London, saya tinggal di Ealing Broadway dan Shephard Bush yang terletak di barat ibu negara England.
Justeru, saya menyokong kelab Queens Park Rangers (QPR) yang terletak tidak jauh dari rumah saya.
Kerap juga saya ke Loftus Road, stadium QPR pada Sabtu terutama jika kelab tetamu yang bermain di sana ialah kelab bola sepak terkenal seperti Liverpool atau MU.
Oleh kerana saya tidak pernah tinggal di Liverpool atau Manchester, saya tidak dapat mengidentifikasikan diri saya dengan kelab-kelab yang menjadi pujaan ramai sahabat saya itu.
Apabila saya berpindah ke Leicester untuk melanjutkan pelajaran di University of Leicester selepas perkhidmatan enam tahun saya dengan BBC berakhir pada penghujung 1982, saya menjadi peminat Leicester City.
Selama setahun saya di University of East Anglia sebagai Chevening Scholar pada 1989/1990 di Norwich, saya menjadi peminat Norwich City.
Setelah kembali ke tanah air, saya mengikuti perkembangan bola sepak di England, namun saya tidaklah menjadi penyokong setia mana-mana kelab Liga Inggeris itu.
Saya juga mesti akui minat saya dalam sukan bukanlah menyeluruh tetapi terhadap sukan-sukan popular tertentu seperti bola sepak, takraw, badminton, tenis dan beberapa yang lain.
Tetapi hakikat itu tidak menjadi masalah untuk saya menyaksikan apa juga jenis sukan dipertandingkan pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Tentulah tumpuan saya ialah sukan yang disertai atlet Malaysia, khususnya badminton dan lumba basikal.
Hal itu kerana jika emas pertama negara ingin direalisasikan dalam Sukan Olimpik, harapan besar diberi kepada pemain dalam dua bidang sukan yang telah melayakkan diri secara merit bagi menyertai temasya sukan terbesar dunia, empat tahun sekali itu.
Berjuta-juta ringgit Malaysia telah dibelanjakan untuk mempersiapkan mereka oleh persatuan sukan masing-masing serta Kementerian Belia dan Sukan.
Sebagai galakan selepas menang, insentif khas dijanjikan jika ada antara mereka berjaya menggapai pingat emas pertama.
Imbuhan wang tunai RM1 juta ditawarkan oleh kerajaan, selain sebuah kediaman dengan nilai sama dijanjikan oleh sebuah pembangun hartanah di Setia Alam, Selangor.
Dengan kata lain, membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik pertama akan menjadikan pemain – individu atau beregu – kaya raya dan hidup senang.
Siapa juga individu itu bukan sahaja mengharumkan nama negara tetapi membina etos unggul untuk diri sendiri sebagai individu berjaya dalam bidang sukan diceburi.
Kejayaan mereka juga tentu akan menjadi perangsang kepada generasi muda ahli sukan negara untuk mengikuti jejak langkah mereka apabila tiba masanya nanti.
Tentunya selepas mana-mana ahli sukan Malaysia menjadi juara Olimpik Paris 2024, mereka juga akan dilantik menjadi duta produk untuk memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan tertentu dengan ganjaran berpuluh ribu atau malah berjuta ringgit.
Pelbagai gelaran termasuk Datuk juga tidak mustahil berada dalam genggaman.
Ayuh Lee Zii Jia yang mara ke separuh akhir individu badminton sehingga artikel ini ditulis dan Datuk Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional yang akan turun ke gelanggang sehari dua ini.
Jangan hampakan rakyat Malaysia untuk membawa pingat emas pertama negara.
Buktikan bahawa perbelanjaan besar diperuntukkan kepada bidang sukan bukan pembaziran atau bak kata orang, sekadar menghabiskan beras!
* Dr Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!