Pas, Gerakan berdamai, PRK Nenggiri makin sengit

Mohd Azmawi Fikri (kiri) dan Mohd Rizwadi berpegangan tangan selepas diumumkan calon mewakili parti masing-masing ketika hari penamaan calon PRK Nenggiri di Gua Musang pada Sabtu. Foto Bernama
Mohd Azmawi Fikri (kiri) dan Mohd Rizwadi berpegangan tangan selepas diumumkan calon mewakili parti masing-masing ketika hari penamaan calon PRK Nenggiri di Gua Musang pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Perkara tersebut disahkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Nik Raisnan Daud selepas semakan borang pencalonan kedua-dua individu diterima.

Pada PRK itu nanti BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani manakala PN, Mohd Rizwadi Ismail dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Situasi berkenaan berbeza dengan tanggapan sebelum ini yang sepatutnya PRK kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk daripada Parti Sedar Rakyat (SEDAR).

Sinar Harian pada 18 Julai lalu melaporkan, SEDAR sah akan bertanding pada PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini sekali gus menyaksikan mereka akan bersaing dengan PN dan BN.

Bagaimanapun pada Sabtu, Presiden SEDAR, Othman Abdillah berkata, partinya memutuskan menarik diri daripada bertanding pada PRK DUN Nenggiri berikutan tidak mahu 'mengacau' undi BN dan PN yang bertanding.

Beliau berkata, bukan soal mengenai kehilangan wang pertaruhan dalam pilihan raya tetapi jika merasa sambutan yang diterima kurang memberangsangkan maka untuk meneruskan kempen selama dua minggu adalah tidak wajar.

Menurutnya, setelah berunding dengan pasukan dan calon, mereka putuskan untuk tidak bertanding.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, faktor penting yang boleh dilihat dalam PRK Nenggiri juga adalah kemelut antara dua parti iaitu Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang didakwa sudah selesai.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketegangan antara dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu dianggap sudah selesai menerusi perbincangan yang diadakan bersama pimpinan tertinggi parti terlibat.

Hamzah malah menyifatkan kemelut yang berlaku antara Pas dan Gerakan itu merupakan lumrah dalam hubungan sesebuah keluarga.

Ini pastinya akan memberi impak kepada kerjasama dalam persaingan sepanjang tempoh kempen PRK DUN Nenggiri.

Lebih-lebih lagi, melihat kepada kombinasi Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam pilihan raya sebelum ini, sudah pasti kedua-duanya akan bergabung tenaga membantu gerak kerja sepanjang kempen PRK kali ini.

Memandangkan medan pilihan raya kali ini didominasi oleh BN dan PN sahaja, persaingan kempen sepanjang tempoh dua minggu itu dijangka berlangsung dengan sengit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!