Ahli Bersatu sertai UMNO, tidak mengundi di Nenggiri - Kamarudin

Kamarudin mendakwa 480 ahli daripada 12 cawangan parti tersebut yang menyertai UMNO pada Sabtu rata-ratanya tidak mengundi di DUN Nenggiri.
Kamarudin mendakwa 480 ahli daripada 12 cawangan parti tersebut yang menyertai UMNO pada Sabtu rata-ratanya tidak mengundi di DUN Nenggiri.
A
A
A

GUA MUSANG - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor mendakwa 480 ahli daripada 12 cawangan parti tersebut yang menyertai UMNO pada Sabtu rata-ratanya tidak mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

"Keluar parti semasa pilihan raya sama ada PRU (Pilihan Raya Umum) atau PRK (Pilihan Raya Kecil) itu sudah menjadi rutin bermusim.

"Tidak mengejutkan dan tidak pula menjejaskan sokongan kepada calon Perikatan Nasional di PRK Nenggiri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau mendakwa Bersatu Kelantan sebelum ini telah menerima beberapa aduan terhadap bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin dan rakan-rakannya yang bersekongkol dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang telah lucut keahliannya.

Ujarnya, mereka itu sedang menunggu untuk diambil tindakan disiplin di atas perbuatan tersebut.

Kamarudin memberitahu, pada masa sama tindakan keluar parti itu juga telah menyelesaikan masalah dalaman Bersatu Gua Musang.

"Lebih baik mereka berpindah parti daripada menjadi gunting dalam lipatan.

"Jawatankuasa Bersatu Gua Musang telah digantung sejak beberapa bulan yang lalu dan satu Jawatankuasa Penaja telah dibentuk oleh MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, ia diketuai oleh ADUN Paloh, Datuk Shaari Mat Hussein manakala Che Ariffin dan rakan-rakannya tidak termasuk dalam jawatankuasa tersebut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seramai 480 ahli daripada 12 cawangan Bersatu DUN Nenggiri mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO berkuat kuasa pada Sabtu.

Kumpulan tersebut diketuai bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kesemua ahli Bersatu kecewa dengan tindakan Pas yang melanggar semangat setiakawan selepas meletakkan ahlinya bertanding di PRK DUN Nenggiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!