PRK Nenggiri: Kemenangan BN bolehkan suara pembangkang lebih didengari

Asyraf Wajdi (tengah) ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putera pada Sabtu. Foto Bernama
Asyraf Wajdi (tengah) ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putera pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk membolehkan suara pembangkang lebih didengari di Persidangan DUN Kelantan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, kemenangan itu akan menambah jumlah pembangkang di Persidangan DUN Kelantan sekali gus menjadikan mekanisme semak dan imbang di negeri berkenaan lebih efektif.

"Paling penting kita mahu menghantar wakil pembangkang seorang lagi yang boleh menjadi semak dan imbang kerana apa juga keputusan di DUN Nenggiri tidak menjejaskan kerajaan di Kelantan.

"Jadi apa salahnya diberikan seorang lagi wakil yang boleh membawa suara hati rakyat terutama dari Gua Musang yang kita tahu banyak isu membabitkan tanah... jadi perlu untuk suara semak dan imbang ini dan itu antara mesej kita nak sampaikan kepada pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai ketiadaan DAP pada kempen di DUN Nenggiri Asyraf Wajdi menjelaskan ia disebabkan parti berkenaan tidak mempunyai cawangan di DUN berkenaan, namun DAP akan tetap membantu BN dalam bentuk yang lain.

"Kempen itu tidak semestinya dalam bentuk mereka perlu berada secara fizikal di sana. Sepertimana yang disebutkan Setiausaha Agung (DAP) Anthony Loke kepada saya mereka akan turut membantu,” katanya.

PRK Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos kerana keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!