Hezbollah lancar berpuluh roket ke utara Israel

Hezbollah pada Ahad memaklumkan pihaknya melancarkan berpuluh roket Katyusha ke arah utara Israel sebagai tindak balas terhadap serangan rejim itu di selatan Lubnan. Foto AFP
Hezbollah pada Ahad memaklumkan pihaknya melancarkan berpuluh roket Katyusha ke arah utara Israel sebagai tindak balas terhadap serangan rejim itu di selatan Lubnan. Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Hezbollah pada Ahad memaklumkan pihaknya melancarkan berpuluh roket Katyusha ke arah utara Israel sebagai tindak balas terhadap serangan rejim itu di selatan Lubnan, lapor Xinhua memetik TV Al Manar Lubnan.

Video yang dikongsi dalam talian memaparkan sistem pertahanan udara Iron Dome Israel memintas beberapa peluru berpandu di bahagian utara.

Sebuah dron Israel menyerang sebuah kedai kecil pada Sabtu di kampung Deir Siriane di tenggara, mengakibatkan seorang budak lelaki terbunuh dan enam orang awam cedera termasuk tiga kanak-kanak, menurut sumber tentera Lubnan kepada Xinhua.

Dalam kejadian lain, seorang cedera akibat serangan dron Israel di kampung Tayr Harfa di barat daya sebelum dihantar ke hospital di bandar Tyre dengan ambulans, menurut sumber.

Dron dan pesawat perang Israel melakukan enam serangan pada petang Sabtu di lima bandar dan kampung di selatan Lubnan, manakala artileri Israel mengebom lapan bandar dan kampung di sektor timur dan barat kawasan sempadan di selatan Lubnan.

Tentera Israel pada Sabtu mendakwa jetnya menyerang beberapa bangunan yang digunakan oleh Hezbollah di Tayr Harfa dan Kafr Kila di selatan Lubnan, serta kereta kebalnya turut mengebom sebuah struktur yang digunakan oleh Hezbollah di Rab al-Thalathine, lapor The Times of Israel pada Ahad.

Situasi tegang menyelubungi Lubnan berikutan serangan Israel di Dahieh di pinggir selatan Beirut pada Selasa, yang mengorbankan komander tentera kanan Hezbollah, Fouad Shokor.

Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah mengancam bertindak balas terhadap serangan Israel. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!