#BerbudiBersama beri pendedahan mengenai khazanah warisan negara

Pengunjung diberikan penerangan mengenai batuan dan fosil yang terdapat di gua Masoorat sempena #BerbudiBersama anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang diadakan Masoorat Heritage Park di sini pada Sabtu.
Pengunjung diberikan penerangan mengenai batuan dan fosil yang terdapat di gua Masoorat sempena #BerbudiBersama anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang diadakan Masoorat Heritage Park di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Program #BerbudiBersama anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang diadakan Masoorat Heritage Park di sini pada Sabtu berlangsung meriah dengan kehadiran pengunjung.

Seawal jam 8.30 pagi, orang ramai sudah mula memasuki pekarangan Masoorat Heritage Park bagi melihat secara dekat ruang pameran serta menyertai aktiviti yang disediakan sepanjang program tersebut berlangsung.

Semua aktiviti yang diadakan tertumpu kepada dua teras utama program iaitu pemeliharaan alam sekitar serta pemeliharaan seni, warisan dan budaya.

Pemilihan negeri Perak bagi penganjuran program kali ini disebabkan warisan sejarahnya selain landskap semula jadi yang pelbagai, sekali gus menjadi contoh kekayaan budaya dan alam sekitar Malaysia.

Selain itu, program #BerbudiBersama itu dilaksanakan untuk mempertingkatkan usaha pemeliharaan alam sekitar melalui aktiviti bengkel berteraskan kepada amalan lestari, kitar semula dan perlindungan biodiversiti.

Ia melibatkan komuniti setempat termasuk komuniti rakan kongsi Felda Trolak Selatan dan komuniti Orang Asli.

Pengarah Urusan Masoorat Heritage Park, Megat Mohd Shahrin Mohd Hamdan berkata, pemilihan bukit batu kapur itu amat bertepatan dengan tema atau teras utama program kerana Masoorat Heritage Park merupakan salah satu daripada 24 geotapak di Geopark Lembah Kinta.

Artikel Berkaitan:

MEGAT MOHD SHAHRIN
MEGAT MOHD SHAHRIN

Jelasnya, di dalam gua batu kapur tersebut terdapat pelbagai khazanah semula jadi penting antara lain termasuklah fosil-fosil yang ditemui seperti seperti gigi orang utan, gigi kijang, gigi harimau, gigi gajah, lukisan prapurba dan sebagainya.

"Yang bagusnya di sini kita meningkatkan kesedaran kelestarian untuk kita menjaga khazanah ini. Sebab itu penganjuran program di bawah Khazanah dan Yayasan Hasanah pada hari ini amatlah bermakna sebab apa yang kami buat di Masoorat ini bersama dengan komuniti yang ada.

"Segala eksplorasi yang kita buat di sini bersama komuniti. Segala yang ada di sini kita kongsikan kepada orang awam supaya untuk beri kesedaran agar bukit batu kapur yang ada merupakan khazanah yang perlu dipelihara," katanya kepada Sinar Harian.

Pengunjung teruja

Sementara itu pengunjung yang kami temui mengakui teruja dan gembira dengan penganjuran program berkenaan.

MUHAMMAD ALI RIFQI
MUHAMMAD ALI RIFQI

Muhammad Ali Rifqi Muhammad Amirul, 9, dari Tanjung Rambutan antara ribuan pengunjung yang hadir bersama ibu bapa bagi menyertai aktiviti disediakan.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan memberikan pengalaman baharu terutama dalam menjaga kelestarian alam sekitar dan memastikan warisan yang ada terus dipelihara.

Seorang lagi pengunjung, Nor Fazliza Harun, 37, dari Felda Trolak Selatan turut gembira diberikan peluang bersama-sama rakan-rakan untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan di dalam program tersebut.

NOR FAZLIZA
NOR FAZLIZA

"Banyak saya pelajari menerusi program ini. Selain kita kenal khazanah apa yang ada di sini, banyak perkara baharu yang selama ini kita tidak pernah tahu pun sebelum ini.

"Kita juga didedahkan dengan pelbagai agensi dan syarikat berkaitan dengan Khazanah selain banyak program-program yang mendapat bantuan daripada Yayasan Hasanah," katanya.

Jelasnya, program ini juga memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menjaga serta memelihara khazanah sedia ada untuk tatapan generasi akan datang.

Melalui reruai pameran yang disediakan pengunjung berpeluang mengetahui inisiatif-insiatif yang dilaksanakan sejajar dengan strategi Memajukan Malaysia oleh Khazanah.

Peluang dekati masyarakat

Dalam pada itu, penganjuran #BerbudiBersama turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan rakan-rakan strategik seperti Hospital Pantai Ipoh, Farm Fresh, Plus Expressway Berhad, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Galeri Khazanah, Qarbotech Sdn Bhd dan Vetomin Malaysia Sdn Bhd.

Tidak ketinggalan usahawan-usahawan kecil serta rakan usaha sama dan benefisiari Yayasan Hasanah yang turut menjayakan program ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Dunita International Sdn Bhd, Siti Sofiah Ramli, penganjuran program tersebut memberi peluang kepadanya memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai yang hadir.

SITI SOFIAH
SITI SOFIAH

Katanya, sebagai salah satu syarikat yang menerima Dana Impak oleh Khazanah, ia amat membantu memperluaskan lagi pasaran produknya iaitu Vetomin-M iaitu produk inovasi untuk haiwan ternakan.

"Kami sebelum ini memenangi pertandingan anjuran Khazanah dan menerima sejumlah dana. Jadi dengan dana yang kami dapat, kami gunakan untuk mengembangkan produk untuk pasaran dalam dan luar negara.

"Melalui #BerbudiBersama ini, kami beri pendedahan kepada pengunjung yang hadir mengenai produk yang dihasilkan dan kita berikan produk secara percuma," katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Qarbotech, Chor Chee Hoe pula, #BerbudiBersama berjaya membantu mereka memperkenalkan produk Qarbogrow yang merupakan penggalak fotosintesis kepada orang ramai khususnya pekebun kecil serta mereka yang bercucuk tanam secara kecil-kecilan.

CHEE HOE
CHEE HOE

Menurutnya, dana yang diterima menerusi Dana Impak pula membantu mereka untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti pengkomersilan seperti pemasaran.

Orang Asli dapat manfaat menerusi Yayasan Hasanah

Yayasan Hasanah yang menjadi rakan penganjur bersama program #BerbudiBersama sempena sambutan ulang tahun ke-30 Khazanah itu turut berkongsi kejayaan membangunkan komuniti Orang Asli menerusi aktiviti ekopelancongan di Kampung Sungai Tonggang, Hulu Kinta di sini.

Batin Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, Che Wan Alang berkata, inisiatif Yayasan Hasanah menerusi Kayuh D'Tonggang yang merupakan kawasan rekreasi dan ekopelancongan Orang Asli berjaya meningkat taraf ekonomi masyarakat berkenaan.

Menurutnya, program yang dilaksanakan selepas pandemik Covid-19 itu nyata memberi nafas baharu kepada penduduk kampung berkenaan apabila aktiviti ekopelancongan di kawasan itu menjadi tumpuan pelancong.

CHE WAN
CHE WAN

Katanya, menerusi aktiviti ekopelancongan tersebut, penduduk kampung dapat menjana pendapatan menerusi jualan kraftangan, perkhidmatan pelancongan dan jualan makanan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, besar harapan pihaknya untuk memastikan #BerbudiBersama memberi manfaat yang besar kepada masyarakat termasuklah semua rakan kerjasama dari seluruh Malaysia terutama yang berada di Perak.

SITI KAMARIAH
SITI KAMARIAH

"Kita juga mengharapkan pengunjung dapat menikmati dan menjadi lebih peka terhadap pelbagai usaha kita dalam bidang alam sekitar, seni, penjagaan haiwan dan pokok.

"Kita juga mahu memastikan masyarakat berbilang kaum, pelbagai peringkat usia dari tua hingga muda anak-anak kita dapat melihat bagaimana kerja kita menjana impak untuk Memajukan Malaysia.

"Ini juga sesuatu yang menjadi tanggungjawab kepada generasi muda pada hari ini kerana mereka akan mengambil alih peranan ini pada masa akan datang," katanya.

Pengunjung melihat produk yang dipamer dan dijual sempena #BerbudiBersama anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang diadakan Masoorat Heritage Park di sini pada Sabtu.
Pengunjung melihat produk yang dipamer dan dijual sempena #BerbudiBersama anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang diadakan Masoorat Heritage Park di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Khazanah juga akan mengadakan siri ketiga #BerbudiBersama bertempat di Mall of Medini, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Ogos 2024 dan orang ramai boleh mengikuti laman sosial rasmi Khazanah untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!