AS cipta rekod dunia di kolam renang

Dari kiri Ryan Murphy, Torri Huske, Gretchen Walsh dan Nic Fink meraih emas acara 4x100m rampaian berganti-ganti campuran sekali mencipta rekod baharu dunia. - Foto: AFP
Dari kiri Ryan Murphy, Torri Huske, Gretchen Walsh dan Nic Fink meraih emas acara 4x100m rampaian berganti-ganti campuran sekali mencipta rekod baharu dunia. - Foto: AFP
A
A
A

RYAN Murphy berkata Amerika Syarikat (AS) tidak mensasarkan rekod dunia acara 4x100 meter (m) rampaian berganti-ganti campuran dalam final Olimpik, sebaliknya mereka sudah menjangkakan untuk melakukan sesuatu yang istimewa pada Ahad.

Kuartet AS dibarisi Murphy, Nic Fink, Gretchen Walsh dan Torri Huske mencatat masa 3 minit 37.43 saat (s), sedikit lebih baik daripada rekod dicipta Great Britain di Sukan Olimpik Tokyo, apabila acara ini pertama kali ditambah dalam program Olimpik.

China yang dipimpin oleh Zhang Yufei memenangi pingat perak dengan masa 3:37.55s, manakala Australia melengkapkan podium dengan masa 3:38.76s.

Ini adalah rekod dunia kedua di kolam renang di Paris selepas Pan Zhanle dari China memecahkan rekod terbaik 100m gaya bebas lelaki.

“Kami tidak bercakap tentang rekod dunia sepanjang pertandingan kerana kami tahu potensi setiap orang dalam rampaian ini dan tuah memihak kepada kami.

“Semua orang berenang mengikut potensi mereka dan kami mendapat rekod dunia serta kemenangan,” kata Murphy yang memberi permulaan garang kepada AS dalam peringkat awal gaya kuak lentang belakang.

Pasukan dalam rampaian campuran terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki dengan setiap empat perenang ditugaskan untuk salah satu daripada empat gaya rampaian tradisional - kuak lentang, kuak dada, kuak kupu-kupu dan gaya bebas.

AS memilih untuk bermula dengan Murphy yang berhadapan Xu Jiayu dari China, sementara Australia memilih untuk meletakkan Kaylee McKeown, juara Olimpik 100m dan 200m, sebagai wakil wanita mereka.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua Fink dan Walsh kemudian berenang dengan cemerlang sebelum Huske membawa kemenangan dengan Yang Junxuan dari China dan Mollie O'Callaghan dari Australia mengekori rapat di belakang.

“Saya rasa mereka membuatkan saya mudah berasa yakin kerana mereka adalah yang terbaik di dunia. Jadi, saya sangat beruntung kerana dapat memiliki mereka di sisi saya,” kata Huske, pemenang pingat emas 100m gaya kupu-kupu.

Sebelum ini, dalam kalangan atlet yang bertanding, pakar dan jurulatih memperdebatkan mengenai kesukaran untuk melihat rekod dunia di Perancis.

Satu teori dijangkakan bahawa kolam itu lebih cetek berbanding kedalaman optimum yang mencipta lebih banyak ombak dan gelora di permukaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!