Data pendaftaran subsidi diesel belum memuaskan- Fuziah
KUANTAN - Kerajaan belum berpuas hati dengan data terkini pendaftaran program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) MySubsidi Diesel kerana ramai yang layak masih gagal memohon subsidi bahan bakar itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, setakat ini sebanyak 259,141 daripada 410,000 kenderaan yang layak telah membuat permohonan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat pagi Ahad.
Menurutnya, bagi kenderaan lori pikap untuk Budi Madani pula, sebanyak 100,000 pemilik yang sudah mendaftar daripada 300,000 kenderaan yang layak.
"Saya masih tidak berpuas hati dengan jumlah ini, kerana tindakan tidak berdaftar ini akan memberi kesan kepada pengguna apabila mereka tidak dapat subsidi tersebut.
"Justeru, secara tidak langsung kos mereka akan meningkat kerana mereka layak mendapat diesel pada harga RM 2.15 seliter, tapi mereka terpaksa beli dipam dengan harga RM 3.35," katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas sesi libat urus SKDS 2.0 di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini pada Ahad.
Beliau bersama KPDN telah melaksanakan sesi walkabout dan libat urus SKDS 2.0 MySubsidi Diesel dengan menemui kira-kira 400 peniaga dan pengunjung di pasar tani tersebut.
Fuziah memberitahu kesibukan dengan urusan seharian antara punca orang ramai tidak membuat pendaftaran bagi mendapatkan subsidi diesel selain kesukaran untuk mendaftar secara dalam talian.
"Jadi, bagi memastikan mereka layak mendapat harga subsidi diesel, KPDN akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus seperti yang dilakukan pada hari ini.
"Perlu ada interaksi dua hala supaya mereka mendapat maklumat mengenai pendaftaran subsidi ini, kelulusan dan sebagainya," ujarnya.
Ditanya mengenai peniaga yang menggunakan kenderaan didaftarkan atas nama orang lain, Fuziah menjelaskan peniaga terbabit masih boleh menikmati SKDS 2.0 dengan syarat penama asal kenderaan itu membuat permohonan.
"Penama pada geran kenderaan itu kena memohon bagi pihak peniaga, tidak ada masalah dan mereka juga boleh dapat 'fleet card' dan SKDS 2.0," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!