Kolaborasi pintar Pulau Pinang, PTPTN perkukuh Program Anak Emas
BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan Program Anak Emas dalam memastikan rakyat Pulau Pinang membuat penyimpanan awal untuk anak-anak mereka.
Program Anak Emas telah diperkenalkan Kerajaan Pulau Pinang pada Jun 2011 iaitu bayaran bantuan secara 'one-off' berjumlah RM200 kepada bayi warga tempatan berusia dua tahun ke bawah.
Selain itu, syarat lain adalah salah seorang ibu atau bapa kepada bayi mestilah berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Pulau Pinang.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, sehingga tahun 2023, jumlah penerima Program Anak Emas adalah seramai 5,971 dengan jumlah keseluruhan RM1.19 juta.
Menurutnya, bermula tahun ini, pemberian sumbangan Program Anak Emas telah ditambah baik melalui kolaborasi strategik bersama PTPTN.
"Berkuatkuasa pada 15 Januari 2024, RM100 diberikan untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime dan RM100 disalurkan kepada akaun bank pemohon yang layak.
"Inisiatif baharu ini merupakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan akan memberikan manfaat jangka panjang kepada anak-anak kelahiran Pulau Pinang, terutama dalam aspek pendidikan tinggi," katanya dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Anak Emas di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Tambah Siew Khim, Program Anak Emas dilaksanakan dengan kerjasama lima buah Pejabat Daerah dan Tanah di Pulau Pinang dan diselaraskan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan dibantu oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) Pulau Pinang.
"Saya berharap, dengan sumbangan dalam akaun Simpan SSPN Prime ini akan dimanfaatkan sebaiknya oleh ibu bapa untuk memulakan penabungan sekali gus menyediakan perancangan kewangan yang baik untuk pendidikan tinggi anak-anak.
"Akaun Simpan SSPN Prime menawarkan pelbagai keistimewaan dan kelebihan menarik kepada pendeposit dan penerima manfaat," katanya.
Siew Khim berkata, pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime mendapat sambutan menggalakkan.
"Sejak diperkenalkan iaitu pada 15 Januari sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 2,162 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan berjumlah RM216,200.
"Saya berharap masyarakat Pulau Pinang merebut peluang untuk memohon bantuan ini. Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang literasi kewangan," tambahnya.
Sementara itu, Norliza berkata, pihaknya berharap Simpan SSPN akan menjadi pilihan terbaik kepada ibu bapa kerana simpanan secara konsisten adalah penting untuk masa depan pendidikan yang terjamin.
"Saya mohon kepada semua agensi awam dan swasta untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai insentif atau hadiah bagi penganjuran aktiviti atau program yang bersesuaian.
"Semoga inisiatif murni Program Anak Emas ini disambut baik oleh seluruh masyarakat Pulau Pinang demi pembangunan anak bangsa selari moto PTPTN iaitu 'Peluang Kejayaan Anda'," katanya.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan.
"Antara manfaatnya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
"Simpan SSPN Prime turut memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit secara percuma ringgit ke ringgit apabila simpanan mencecah RM1,000," katanya.
Tambah beliau, sejak diperkenalkan pada tahun 2004 sehingga 30 Jun tahun ini, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM18.54 bilion dengan 6.4 juta akaun telah dibuka.
"Bagi Pulau Pinang, deposit simpan SSPN yang diterima berjumlah RM2.16 billion dengan 340,388 akaun dibuka," katanya.
Dalam pada itu, penerima Program Anak Emas, Ng Yih Meei, 25 berkata, usaha kerajaan negeri yang menyediakan program seumpama itu wajar dipuji dan disokong.
Ibu kepada Henry Yew Pei Ann, 8 bulan berkata, dia mula menabung untuk masa depan anaknya sejak bayinya itu di dalam kandungan lagi.
"Terima kasih kerajaan negeri kerana menganjurkan program seperti ini kerana ia memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang terutamanya generasi akan datang," katanya.
Penasihat perkhidmatan, Keshni Devi, 29 berkata, pertama kali dia mengetahui mengenai Program Anak Emas, dia terus mendaftar nama anak tunggal, A Kavvenessh, 1 tahun 3 bulan demi masa depannya.
"Apabila kerajaan negeri buat program seperti ini, rakyat tahu cara untuk menyimpan wang demi masa depan anak. Kita tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan. Saya mohon Program Anak Emas pada bulan ini, dan selepas itu baru tahu ada Simpan SSPN.
"Program seperti ini banyak memberi manfaat kepada ibu bapa seperti saya dan suami. Kami memang mementingkan masa depan anak terutamanya pelajaran," katanya.
Sementara itu, peniaga, Sti Hajar Azudin, 28, Program Anak Emas yang kini bekerjasama dengan PTPTN dilihat amat bagus untuk membantu ibu bapa menyimpan wang untuk anak-anak mereka.
"Ekonomi sekarang tidak menentu, kehidupan amat mencabar. Sekiranya tiada tindakan awal dengan membuat simpanan untuk anak, kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.
"Demi masa depan anak, Edith Hassan Mikhail Muhammad Hafiz, 1 tahun 2 bulan, saya dan suami telah membuat simpanan sejak dia lahir lagi. Ini bagi meringankan beban kami kerana membuat persediaan awal untuk anak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!