Pegawai atasan kurang peka fungsi AUEGCAS

AUEGCAS Selangor telah mengadakan Kursus Pemantapan AUEGCAS Selangor di Port Dickson pada Sabtu.
AUEGCAS Selangor telah mengadakan Kursus Pemantapan AUEGCAS Selangor di Port Dickson pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai atasan dan ketua jabatan kurang peka terhadap fungsi Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS).

Pengerusi AUEGCAS Selangor, Hazarul Anan berkata, pihaknya sering menerima maklum balas berkenaan isu itu daripada ahli kesatuan.

Menurutnya, masih terdapat pegawai atasan tidak memahami pentingnya kesatuan sekerja dalam kalangan penjawat awam sama ada peringkat persekutuan mahu pun negeri.

"Perkara ini juga menyebabkan penjawat awam menghadapi kesukaran untuk bergerak menyertai aktiviti dan menjalankan tugasan yang diamanahkan di arena kesatuan.

"Walhal perkara ini telah mendapat kebenaran bertulis daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam JPA yang telah diutuskan semula bertarikh 14 Jun 2022.

"Ketetapan itu menyatakan dengan jelas bahawa 14 hari Cuti Tanpa Rekod diperuntukkan kepada Ahli AUEGCAS bagi menjalankan aktiviti kesatuan dengan tambahan hari cuti perjalanan pergi dan balik," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, permasalahan itu akan dipanjangkan melalui Setiausaha Agung AUEGCAS Kebangsaan, Amir Hamzah Yakat Ali dan seterusnya ke peringkat CUEPACS.

"Apa yang diperjuangkan oleh kesatuan akan dapat juga dirasai oleh semua penjawat awam termasuk pegawai atasan seperti permohonan pemberian bonus dan kenaikan gaji tahunan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi persoalannya mengapa sukar sangat pihak pegawai atasan untuk memberi pelepasan dalam tujuan berkesatuan," katanya.

Pada Sabtu, AUEGCAS Selangor telah mengadakan Kursus Pemantapan AUEGCAS Selangor di Port Dickson.

Turut hadir Presiden AUEGCAS, Asman Mohd Nawawi dan Ahli Majlis Tertinggi terdiri Pengerusi Johor, Muhammad Fadzli Anuar dan Setiausaha Perak, Muhd Khuzaini Farhan Abd Aziz serta Setiausaha Negeri Sembilan, Paramila Periasamy.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!