'Keluarga terkilan individu tak dikenali minta sumbangan'
KOTA BHARU - Keluarga pasangan suami isteri yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing pada 2 Jun lalu terkilan apabila ada pihak yang menggunakan berita serta nama dua anak saudaranya untuk meraih wang dengan mudah.
Kakak Sulung mangsa, Suhaily Khairudin, 49, memberitahu keluarganya tidak pernah meminta sumbangan dengan mana-mana pihak termasuk melalui media sosial.
Berkongsi kejadian itu, Suhaily memberitahu menerima beberapa panggilan daripada individu tidak bertanggungjawab yang meminta maklumat ibunya, Wan Rahani Wan Zain, 67, dan dua anak saudaranya, Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15 dan adiknya, Akid Darwisy Ridwan Effendy, 9.
"Individu itu mengaku sebagai wartawan dan turut meminta nombor kad pengenalan ibu selain gambar dua anak saudara.
"Saya tidak memberikan maklumat yang diminta kerana terfikir ada individu yang cuba mengambil peluang di atas kejadian yang menimpa kami," katanya.
Suhaily memberitahu pemberita ketika menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Mulong 1, Datuk Burhanuddin Ruslan di kediaman ibunya di sini pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 9.35 pagi pasangan suami isteri, Ridwan Effendy Yusof, 43, bersama isteri, Suhana Khairudin, 37, yang hamil enam bulan maut di tempat kejadian.
Dua anak pasangan terbabit, Akid Darwisy dan Qaisara Damia mengalami luka di bahagian kaki dan mulut.
Mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke Tunjong, Kota Bharu selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Ipoh, Perak.
Suhaily mengakui sedih apabila gambar daripada portal akhbar tempatan mengenai 'pemergian' adiknya bersama suami keluar di satu platform media sosial kira-kira sebulan lalu.
Jelasnya lagi, pengguna media sosial itu turut berkongsi nama dua anak saudaranya itu selain menyiarkan nombor akaun yang bukan milik mana-mana ahli keluarganya.
"Saya sudah menolak dengan baik. Saya tidak menyangka ketika kami masih lagi bersedih ada pihak mengambil kesempatan," katanya lagi.
Sebelum itu, Qaisara Damia dan adiknya menerima sumbangan berjumlah RM2,000 disampaikan oleh Burhanuddin.
Sumbangan daripada oramg ramai dan warga sekolah itu dikumpulkan melalui akaun PIBG Sekolah Kebangsaan Mulong 1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!