Anak tetak tangan bapa hingga putus ketika bergaduh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja kontrak berusia 53 tahun putus di bahagian pergelangan tangan kanan apabila ditetak oleh anak lelakinya dalam pergaduhan di rumah mereka di Taman Keladi dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian dikatakan berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dengan isterinya pada sebelah pagi dan anak lelaki mereka berusia 29 tahun bertindak mencampuri dan cuba meleraikannya.

“Bagaimanapun suspek (anak mangsa) telah dihalau keluar oleh mangsa. Anak mangsa kemudiannya pulang semula ke rumah kira-kira jam 8.30 malam, lalu menolak mangsa hingga terjatuh sebelum melibas parang ke arah mangsa.

“Mangsa cuba menahan dengan tangan kanan menyebabkan tangannya putus pada bahagian pergelangan dan kejadian itu disedari anak perempuan mangsa berusia 25 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek dalam keadaan mabuk semasa pergaduhan berlaku.

“Susulan itu, suspek yang bekerja sebagai pengutip besi buruk telah ditahan untuk membantu siasatan. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Semakan jenayah lampau juga mendapati bahawa suspek mempunyai satu kesalahan lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!