Orang Besar Jajahan Perak Tengah meninggal dunia
IPOH - Orang Besar Jajahan (OBJ) Perak Tengah, Datuk Dr Ahmad Ruslan Mohd Ridzuan meninggal dunia jam 7.53 pagi pada Ahad di Hospital Teluk Intan.
Berita pemergiannya disahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Paloh dekat sini sebentar tadi.
"Menerima khabar sedih akan pemergian OBJ Perak Tengah, Datuk Dr Ahmad Ruslan Mohd Ridzuan yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.
"Saya terus menziarahi Allahyarham buat kali yang terakhir di Masjid Kg Paloh, Ipoh. Ya Allahu Azza Wa Jalla, Kau hapuskanlah dosa-dosanya, Kau angkatkan lah darjatnya dan Kau tempatkan lah dia dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sementara itu difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat kanser yang dihadapi sejak setahun lalu.
Ahmad Ruslan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh selepas solat Asar petang ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, tiga anak dan seorang cucu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!