Alief Daniel sudah pulang ke rumah
PETALING JAYA - Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu telah pulang ke rumah pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya akan merakam keterangan Alief Daniel Ghazally Abdul Ghaniy pada Ahad.
"Remaja berkenaan telah pulang semalam, laporan diterima pada hari sama dan keterangan lanjut akan dirakam hari ini.
"Difahamkan remaja tersebut takut pulang ke rumah kerana khuatir penjaganya dipanggil ke sekolah berkaitan kes gaduh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Jumaat, media melaporkan polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang.
Shahrulnizam dilaporkan berkata Alief Daniel Ghazally kali terakhir dilihat berada di rumahnya di Jalan PJS 2C, Petaling Jaya kira-kira jam 11.50 pagi Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!