15 mangsa banjir berlindung di dua PPS

15 mangsa banjir berlindung di dua PPS yang dibuka sejak tengah hari pada Ahad. - Foto: APM
15 mangsa banjir berlindung di dua PPS yang dibuka sejak tengah hari pada Ahad. - Foto: APM
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seramai 15 orang daripada empat keluarga di daerah Muallim dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) pada Ahad susulan hujan berterusan sebelah pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan kesemua mangsa berlindung di PPS Dewan Kampung Pauh, Behrang Stesen dan Sekolah Menengah Khir Johari dekat sini.

"Dewan tersebut dibuka jam 11 pagi bagi menempatkan mangsa dari Kampung Sri Behrang, Kampung Lambak dan Kampung Kelawar manakala sekolah berkenaan dibuka sejam kemudian bagi menempatkan tiga keluarga dari Kampung Ketoyong.

"Pemantauan dan penilaian risiko di kawasan banjir terus dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi berikutan cuaca di lokasi masih hujan lebat," katanya di sini.

Hujan lebat berterusan menyebabkan empat kawasan penduduk dinaiki air di Tanjung Malim. Foto: APM
Hujan lebat berterusan menyebabkan empat kawasan penduduk dinaiki air di Tanjung Malim. Foto: APM

Sementara itu, sumber Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air sungai di negeri itu termasuk Sungai Slim, Slim River menunjukkan paras normal setakat jam 2 petang.

Sinar Harian melaporkan hujan berterusan lebih lima jam menyebabkan 18 buah rumah di Mukim Hulu Bernam Timur dekat Behrang dilanda banjir.

Rumah penduduk dinaiki air pada paras satu meter akibat limpahan air Sungai Bernam berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!