PRK Nenggiri: Waspada penyebaran berita palsu
KULAI - Semua pihak perlu berwaspada dengan penyebaran kandungan berita palsu di media-media sosial terutamanya melibatkan kandungan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) di sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), akan terus memantau di kesemua platform media sosial dalam usaha mengesan sebarang hantaran yang menyalahi undang-undang dimuat naik oleh orang ramai.
“Secara keseluruhannya, pemantauan oleh SKMM memang sentiasa dilaksanakan. Oleh itu, saya nasihatkan kepada pengguna media sosial apabila kita terima satu maklumat yang kita sendiri tidak pasti kesahihannya, janganlah kita sebarkan atau kongsikan kerana di zaman teknologi AI, video atau gambar mudah dihasilkan.
“Dengan AI ini senang sahaja untuk buat video, gambar yang disunting dan tentunya banyak juga 'scammer' yang guna pakai AI untuk buat video Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), video orang-orang terkenal dan lain-lain.
“Waktu PRK dulu, berkemungkinan ada pihak yang akan guna pakai AI untuk buat kandungan palsu. Oleh itu, pihak SKMM bersama pihak PDRM (Polis DiRaja Malaysia) akan terus buat pemantauan. Bila ada aduan, kita akan minta pengendali platform media sosial untuk turunkan.
"3R ini memang boleh dipanggil oleh PDRM dan SKMM. Salah guna network facility juga merupakan salah satu kesalahan... jadi bila terima aduan, PDRM akan buat siasatan dan akan dibantu SKMM," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena program 'Cemerlang Hari Ini, Gemilang Esok' Peringkat Parlimen Kulai di SMK Tunku Abdul Rahman Putra Kulai, Batu 21, Taman Kulai Utama,pada Ahad.
Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri akan berlangsung pada 17 Ogos berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Sementara itu, Nie Ching menasihatkan semua pihak termasuk wakil parti dan penyokong-penyokong untuk berkempen secara rasional selain tidak menyentuh isu sensitif yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara.
“Setakat ini belum ada lagi laporan dan aduan... jadi, saya harap pada PRK ini, kedua-dua pihak baik wakil kerajaan atau pembangkang mengambil peluang untuk bertukar pandangan secara rasional.
“Mereka yang bertanding dan penyokong-penyokong juga diingatkan agar berhati-hati ketika berkempen, jangan disebabkan satu PRK ia boleh merosakkan keharmonian dalam negara.
"Kepada pengguna media sosial terutamanya penyokong kerajaan atau pembangkang, kita boleh berbahas tetapi biarlah dalam keadaan yang rasional," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!