Suami isteri maut nahas: Anak tidak tahu bapa rancang kejutan hari lahir
KOTA BHARU - Anak sulung kepada pasangan suami isteri yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing pada 2 Jun lalu tidak menyangka ibu bapanya merancang kejutan pada hari lahirnya yang ke-15 selepas pulang daripada Ipoh, Perak.
Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, hanya mendapat tahu rancangan bapanya bersama ahli keluarga lain termasuk adiknya selepas kemalangan berlaku.
"Rupa-rupanya papa sudah membeli kek hari jadi dan disembunyikan di bonet belakang. Saya hanya melihat kek yang sudah hancur selepas kereta terbabas," katanya.
Qaisara Damia memberitahu pemberita ketika menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1, Datuk Burhanuddin Ruslan dan guru di kediaman neneknya, Wan Rahani Wan Zain, 67, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Muhamad Amali Arifin.
Menurut Qaisara Damia, hari lahirnya jatuh pada 1 Jun tetapi ibu bapanya mungkin merancang majlis hari lahir sebaik mereka sekeluarga tiba di Kota Bharu.
Katanya lagi, mereka ke sebuah hospital di Ipoh, Perak kerana ibunya perlu menerima prosedur rawatan kerana mengandung anak kembar.
Sebelum itu, ibunya menerima rawatan di hospital Kota Bharu dan dirujuk ke hospital Kuala Lumpur sebelum ke hospital di Ipoh.
Berkongsi perjalanan terakhir bersama bapa dan ibunya, Qaisara Damia memberitahu, bapanya sempat berpesan supaya dia tidak meninggalkan solat dan menjaga adiknya, Akid Darwisy Ridwan Effendy, 9.
"Ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, papa juga ada berpesan supaya kami tinggal bersama nenek," katanya.
Sebagai anak sulung, Qaisara Damia kini semakin boleh menerima pemergian kedua ibu bapanya dan sentiasa mendoakan mereka bersama orang yang beriman.
"Cuma adik masih lagi memanggil papa dan mama dalam tidurnya. Saya harap semuanya akan baik-baik sahaja," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 9.35 pagi pasangan suami isteri, Ridwan Effendy Yusof, 43, bersama isteri, Suhana Khairudin, 37, yang hamil enam bulan maut di tempat kejadian.
Dua anak pasangan terbabit, Akid Darwisy dan Qaisara Damia mengalami luka di bahagian kaki dan mulut.
Sementara itu, Burhanuddin memberitahu, sumbangan sebanyak RM2,000 daripada warga sekolah dan orang ramai disalurkan melalui PIBG bertujuan membantu dua beradik yatim piatu itu.
Katanya, Arkid Darwisy merupakan murid SK Mulong 1 manakala kakaknya pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong.
"Bantuan ini tidak berakhir di sini kerana orang ramai boleh terus memberikan sumbangan melalui tabung PIBG. Kita juga bersedia menjadi pemudah cara kepada mana-mana pihak yang mahu membantu dua anak ini sehingga mereka berjaya dalam pelajaran," katanya.
Burhanuddin turut memaklumkan, kunjungan juga akan berterusan bagi melihat keperluan dua beradik tersebut berkenaan.
Orang ramai yang mahu menghulurkan derma boleh berbuat demikian atas nama PIBG Sek Keb Mulong 1 melalui bank Muamalat di nombor 03010003981711.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!