Keluarga harap prebet Muhammad Fakrullah segera ditemui
MELAKA - Keluarga anggota tentera, prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, masih buntu dengan kehilangan anak kedua dari tiga beradik itu sejak keluar rumah lebih sebulan lalu.
Bapanya, Nazri Abd Rahim, 48, berkata, sejak Muhammad Fakrullah tidak dapat dikesan, isterinya paling sedih dan setiap hari bertanyakan mengenai keberadaan anaknya itu.
Menurutnya, selain membuat laporan polis dia juga telah mencari Muhammad Fakrullah atau mesra dipanggil Fakhrul di merata tempat termasuk di Melaka Raya namun gagal dan sehingga hari ini tidak menerima sebarang perkhabaran daripadanya.
"Cuma pada 4 Julai lalu anak sulung melihat dia aktif di aplikasi TikTok dan telah menghantar mesej supaya dia pulang namun tidak dibalas.
"Yang saya tau dia tidak ada bergaduh dengan sesiapa atau ada masalah hutang ke, dia juga tak pernah menceritakan sebarang masalah dihadapi sepanjang menjadi tentera," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Jelasnya, November depan genap tiga tahun anaknya yang sebelum ini bertugas sebagai Kor Kesihatan Diraja (KKD) kem tentera di Kedah sebelum berpindah ke Kem Terendak Sungai Udang.
Bercerita lanjut dia berkata, pada Disember tahun lalu anaknya mengalami kemurungan lalu dipindahkan bertugas di Hospital Kem Terendak Melaka.
Nazri berkata, mereka telah membawa anaknya itu berubat secara Islam dan keadaan kembali pulih malah ketika dalam keadaan kemurungan anaknya pernah bersembunyi di dalam kem selama lapan hari sebelum ditemui selamat.
"Ketika kemurungan dia bukan sahaja pernah hilang dalam kem malah seorang diri pergi ke tingkat tiga bangunan lama hospital.
"Namun selepas berubat alhamdulillah keadaannya kembali pulih, jadi bila dia nak lapor diri masuk kerja semula saya gembira tapi rupanya dia hilang lagi," katanya lagi.
Tambahnya, merayu anak lelakinya itu segera pulang dan berdepan dengan segala masalah yang dihadapi bukannya melarikan diri.
"Saya mohon jasa baik orang ramai sekiranya ternampak Fakrullah supaya segera memaklumkannya di balai polis berhampiran," ujarnya.
Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan seorang anggota tentera yang sepatutnya kembali bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang di sini, dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, individu, yang beralamat di Tanjung Minyak dikesan kali terakhir keluar dari rumahnya sejak 24 Jun lalu ketika sedang bercuti.
Menurutnya, mangsa telah berkhidmat selama dua tahun sebagai anggota tentera dan laporan kehilangannya dibuat oleh bapanya pada 20 Julai lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!