Himpunan Pembebasan Palestin: 65 pegawai, anggota pantau lalu lintas
KUALA LUMPUR - Seramai 65 pegawai dan anggota polis trafik terlibat dalam kawalan lalu lintas sempena Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua pegawai dan anggota terlibat akan melakukan pemantauan bagi memastikan kelancaran aliran trafik di lokasi.
"Tiada sebarang penutupan jalan yang dilakukan sempena penganjuran himpunan ini dan kita mahu memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar.
"Anggota bertugas akan ditempatkan di lokasi sekitar Axiata Arena bagi memastikan kenderaan bergerak lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, pengguna diingatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan selain arahan anggota trafik bertugas.
"Pengguna dilarang meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi menggelakkan kesesakan dan halangan lalu lintas.
"Patuhi peraturan ditetapkan dan keselamatan di jalan raya," katanya.
Himpunan Pembebasan Palestin di jadual bermula pada jam 6 petang ini bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama beberapa pemimpin lain.
Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!