Konflik Lubnan: Perancangan bawa pulang anggota MALBATT telah dibuat

Mohamed Khaled (tengah) ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu, pada Ahad.
Mohamed Khaled (tengah) ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu, pada Ahad.
A
A
A

JELEBU - Kerajaan mempunyai perancangan untuk membawa pulang lebih 800 anggota tentera Malaysia, Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan sekiranya konflik di negara itu semakin meruncing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beberapa perancangan telah pun dibuat sekiranya berlaku sebarang kemungkinan di sana.

"Kita telah pun ada perancangan sekiranya merebaknya konflik dan bagaimana untuk membawa pulang anggota kita di sana.

"Tapi oleh kerana mereka ini adalah pasukan pengaman Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu( PBB), apa saja pergerakan kita pada akhirnya memerlukan persetujuan daripada PBB," katanya ditemui pemberita selepas hadir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di sini, pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan Amerika Syarikat dan Britain telah mengeluarkan amaran kepada rakyat masing-masing supaya segera meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan bahawa konflik dengan Israel akan bertambah buruk.

Kedutaan kedua-dua negara itu menggesa mereka yang memutuskan untuk kekal di Lubnan supaya membuat rancangan luar jangka bagi sebarang situasi kecemasan dan bersedia mencari tempat perlindungan untuk jangka masa yang panjang.

Dalam perkembangan mengenai cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM), Mohamed Khaled berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan bagi mencari jalan terbaik berhubung perkara itu.

"Pejabat Peguam Negara (AGC) telah pun memberi maklum balas kemungkinan kalau dibatalkan macam mana dan kalau tidak dibatalkan apa hak kita.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita sedang berbincang untuk cari jalan terbaik," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!