Wajibkan penjawat awam buat pemeriksaan kesihatan cegah obesiti
SHAH ALAM - Kerajaan disyor mewajibkan penjawat awam berusia 40 tahun dan ke atas, terutama dalam kalangan mereka yang mula menunjukkan tanda-tanda obesiti, melaksanakan pemeriksaan kesihatan berkala sebelum diserap dalam program intervensi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, program kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) boleh dilakukan untuk mengawal dan memantau kumpulan penjawat awam yang mempunyai masalah obesiti.
Menurutnya, pelaksanaan program tersebut bagi mengenal pasti kumpulan penjawat awam berisiko dan faktor kepada penyumbang masalah tersebut kemudian disusuli dengan merangka dan melaksanakan program intervensi.
"Setiap program intervesi yang dilaksanakan perlu dinilai keberkesanannya supaya mencapai objektif yang ditetapkan.
"Hanya peserta yang menunjukkan penurunan positif sahaja boleh dibebaskan daripada program intervensi yang dilaksanakan tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kembali 'bermasalah'.
"Perkara yang sama boleh dilaksanakan di sektor swasta bagi memastikan golongan pekerja di Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat disamping melakukan aktiviti pekerjaan lain. Tindakan bersama oleh majikan masing-masing boleh membantu mengurangkan masalah obesiti di Malaysia dengan lebih berkesan,"katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendedahkan sebanyak 50 peratus penjawat awam di Putrajaya mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Justeru, penjawat awam digalakkan untuk menjalankan pelbagai aktiviti sihat sebagai usaha memperoleh tahap kesihatan yang lebih baik.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, masalah berat badan berlebihan bukanlah suatu perkara yang baharu di Malaysia dan tidak hanya membabitkan penjawat awam.
Justeru, masalah kegemukan rakyat Malaysia perlu diambil perhatian lebih serius oleh semua pihak kerana perkara tersebut tidak sepatutnya dinormalisasikan.
"Obesiti dan berlebihan berat badan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan sakit jantung. Cuepacs melihat masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam lebih kepada tabiat pemakanan dan juga gaya hidup individu tersebut.
"Untuk menangani obesiti secara berkesan sebenarnya datang daripada dalam diri kita sendiri. Jika kita perhatikan, sudah banyak program kesedaran kesihatan dibuat misalnya membabitkan media massa, selain kempen penerangan awam. Banyak juga maklumat pendidikan mengenai pemilihan makanan yang sihat dihebahkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!