Wujudkan TVET pertanian di Kedah, lahirkan petani moden

Penubuhan TVET pertanian khususnya penanaman padi di Kedah mampu meningkatkan hasil tanaman padi seterusnya menjamin sekuriti makanan negara - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nazri)
Penubuhan TVET pertanian khususnya penanaman padi di Kedah mampu meningkatkan hasil tanaman padi seterusnya menjamin sekuriti makanan negara - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nazri)
A
A
A

JERLUN - Sebuah pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berasaskan sektor pertanian perlu dibina di Kedah dalam usaha melahirkan petani moden khususnya kalangan anak muda.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Nazri Arshat berkata, usaha tersebut amat bertepatan kerana Kedah merupakan negeri Jelapang Padi negara yang memfokus kepada penanaman padi.

Menurutnya, penubuhan TVET pertanian juga dapat meningkatkan hasil tanaman padi seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.

“Kita cadangkan agar Kerajaan Madani wujudkan kolej TVET berasaskan pertanian di Kedah.

“Kedah terkenal sebagai negeri Jelapang Padi, sebagai negeri pertanian. Namun Kolej TVET berasaskan pertanian sama ada kolej vokasional Agropertanian atau apa-apa kolej seumpama belum ada. Malah tiada lagi kolej TVET yang fokus sepenuhnya kepada pertanian,” katanya di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Nazri percaya dengan adanya TVET pertanian akan menarik minat golongan muda untuk menyertai sektor pertanian dan seterusnya melahirkan petani moden.

“Anak-anak muda yang tak minat menyambung pelajaran boleh fokus kepada teknikal dan vokasional. Apabila adanya TVET pertanian, minat mereka kepada sektor ini mungkin meningkat kerana sejak kecil melihat ibu bapa ke sawah, mengusahakan secara tradisional.

“Jika anak pesawah ini diberikan peluang sertai TVET pertanian, mungkin dapat mencetuskan idea baharu menggunakan teknologi untuk tingkatkan hasil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembelajaran TVET pertanian kemungkinan memerlukan tempoh masa lama dan mencadangkan agar diperkenalkan bermula di Tingkatan Satu persekolahan menengah.

“Dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada, mereka boleh mengusahakan tanaman sendiri.

“Kita mahu bangunkan anak-anak muda, TVET bukan untuk orang tua. Kami harap kerajaan pertimbangkan untuk wujudkan sebuah TVET berasaskan pertanian bermula usia 13 tahun untuk perkasakan sektor pertanian dan juga TVET,” jelasnya.

Beliau berkata, tidak mustahil menerusi TVET pertanian kelak, akan lahirnya petani moden yang mampu mencipta alat pertanian seperti dron yang kini digunakan secara meluas dalam sektor tani.

“TVET pertanian akan dapat tarik minat anak-anak muda kerana ia bukan lagi di takuk lama (tradisional), sebaliknya didedahkan kepada teknologi. Contohnya penggunaan dron dalam kerja-kerja di sawah padi.

“Dron dihasilkan di China. Mungkin suatu hari nanti kita saksikan dron yang dicipta oleh anak muda Melayu hasil didikan TVET. Kita boleh berbangga dengan teknologi tempatan dan tidak perlu lagi mengharap pihak luar,” katanya.

Menurutnya lagi, kita harus mencuba menguasai teknologi baharu untuk mencungkil kelebihan yang ada pada anak tempatan.

“Ini antara tujuan teknologi TVET, untuk kita hasilkan teknologi tempatan dan hasilkan produk kita sendiri.

“Tidak mustahil kita miliki dron Malaysia yang kos lebih rendah, hasil idea daripada anak-anak muda lepasan TVET pertanian,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, kerajaan akan mewujudkan sijil bagi kursus kemahiran fisioterapi dalam aliran TVET negara.

Katanya, terdapat keperluan untuk mewujudkan kursus kemahiran berkenaan bagi mengimbangi nisbah seorang ahli fisioterapi dengan kadar kependudukan negara.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, sebelum ini, kursus fisioterapi banyak ditawarkan di kolej dan universiti menerusi fakulti perubatan dan kesihatan sekurang-kurangnya di peringkat Diploma.

Untuk itu, katanya, kursus persijilan di peringkat bawahan boleh dilakukan melalui institusi TVET yang akan diumumkan kelak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!