Lelaki maut dihempap pokok ketika memancing
LIPIS - [DIKEMAS KINI] Seorang pemancing maut manakala rakannya cedera parah selepas khemah yang mereka duduki dihempap pokok di lubuk Beriang, Kampung Pagar Sasak, Padang Tengku pada pagi Ahad.
Mangsa maut, Mohd Azliana Alias, 54, beralamat di Teras Jernang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lipis kerana mengalami pelbagai kecederaan.
Sementara itu, rakannya, Dzulkefli Aman, 44, dari Kampung Yian, Kechau di sini, patah kaki kanan dan menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada pihak Balai Bomba Penyelamat (BPP) Lipis yang memaklumkan terdapat dua lelaki mengalami kecederaan parah akibat dihempap pokok.
Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, anggota Balai Polis Padang Tengku ke lokasi kejadian dan mendapati kawasan tersebut adalah sungai atau lata serta tempat penduduk menjalankan aktiviti mencari ikan, selain tempat perkhemahan.
"Mangsa pergi ke lokasi kejadian bagi tujuan memancing dan bermalam di situ bersama lima lagi rakan, namun pada jam 7 pagi, sebatang pokok telah tumpang di kawasan perkhemahan ekoran hujan lebat pada malam tadi (Sabtu).
"Akibatnya, dua-kedua mangsa telah mengalami cedera parah akibat dihempap pokok," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ismail memberitahu, pihak BBP Lipis dengan bantuan penduduk berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa walaupun berdepan situasi sukar kerana keadaan jalan berhutan dan berlumpur.
Jelasnya, jarak antara lokasi kejadian dengan jalan utama dianggarkan sejauh lima kilometer.
"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.
"Namun, salah seorang mangsa meninggal dunia pada jam 1.15 petang ketika menerima rawatan di unit kecemasan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, seramai 11 anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Lipis ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 pagi.
"Operasi menyelamat mangsa menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda milik orang awam bersama dua pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Pada ketika itu, dua mangsa cedera dan diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan, seterusnya dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!