Harris tolak idea 'syok sendiri' Trump

Harris (kiri) dilihat sebagai pesaing sengit kepada Trump selepas populariti beliau melonjak dek insiden cubaan bunuh pada bulan lalu. Foto Agensi
Harris (kiri) dilihat sebagai pesaing sengit kepada Trump selepas populariti beliau melonjak dek insiden cubaan bunuh pada bulan lalu. Foto Agensi
A
A
A

ATLANTA - Calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump dengan yakin menyatakan beliau menerima tawaran Fox News untuk menyertai debat bersama Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris yang mewakili Demokrat.

Menerusi catatan di media sosial, bilionair hartanah berusia 78 tahun tersebut turut menyatakan tarikh pada 4 September depan untuk acara panas dijangka berlangsung itu.

“Ia bakal diadakan di Pennsylvania dan lokasinya akan ditentukan kemudian.

“Moderator yang bakal terlibat ialah Bret Baier dan Martha MacCallum. Peraturan masih sama seperti debat bersama 'Sleepy Joe' dan akan turut dihadiri penonton,” katanya yang membuat keputusan sendiri setelah Presiden Joe Biden menarik diri daripada bertanding untuk merebut semula jawatan di Rumah Putih.

Pada Sabtu, kempen Harris, bagaimanapun menegaskan mereka akan tetap berpegang kepada rancangan asal untuk sesi tersebut yang akan diadakan bersama ABC News.

“Trump perlu berhenti 'syok sendiri' dan hadir pada debat yang sudah ditetapkan pada 10 September depan. Naib Presiden akan berada di sana atau mungkin akan mengambil peluang untuk berucap kepada rakyat Amerika pada waktu perdana.

“Encik 'bila-bila masa dan di mana-mana sahaja' tidak sepatutnya ada masalah dengan perkara itu melainkan beliau sebenarnya takut untuk muncul pada tarikh tersebut,” sindir Michael Tyler yang merupakan Pengarah Komunikasi Kempen Harris.

Menerusi kenyataan berasingan di platform X, Harris, 59, juga mengesahkan beliau akan mengikut jadual asal dan berharap untuk bertemu Trump pada hari berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Mei lalu, Trump dan Biden bersetuju untuk menyertai dua pusingan debat yang pertama kali berlangsung pada Jun dan dihoskan oleh CNN disusuli sesi kedua bersama ABC News pada 10 September depan.

Sebelum ini, Harris mendakwa Trump melanggar perjanjian asal dan terus berdolak dalih untuk sesi akan datang.

Prestasi buruk Biden ketika sesi debat pertama telah mencetuskan desakan supaya beliau menarik diri daripada bertanding semula Pilihan Raya Presiden AS dijadualkan pada November depan.

Keputusan pengunduran Biden telah membuka peluang kepada Harris yang terus mendapat sokongan majoriti anggota Demokrat.

Presiden ke-39 AS, Jimmy Carter yang bakal mencecah usia 100 tahun pada 1 Oktober depan juga secara terbuka menyatakan beliau akan mengundi Harris. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!