Rakyat Malaysia berpakaian serba putih hadiri Himpunan Pembebasan Palestin

Rakyat Malaysia berpakaian serba putih hadir menyertai Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
Rakyat Malaysia berpakaian serba putih hadir menyertai Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ribuan rakyat Malaysia berpakaian serba putih hadir menyertai Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai terutama golongan muda mula memenuhi pekarangan stadium berkenaan seawal pukul 5.30 petang dengan membawa sepanduk masing-masing bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Ada di antara mereka datang menggunakan kenderaan sendiri dan tidak kurang juga menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Noorirwini
Noorirwini

Menurut seorang peserta Noorirwini Tasya,18, yang merupakan penuntut UiTM Dengkil berkata, perhimpunan malam ini diharapkan dapat menjadi bukti keprihatinan serta solidariti rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin.

“Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh perlu mendapat pembelaan sewajarnya dari rakyat negara Islam khususnya rakyat Malaysia,” katanya.

Jelasnya, rakyat Malaysia perlu terus mengutuk dan misi bantuan harus diteruskan bagi memastikan rakyat Palestin dapat terus bertahan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Taufik
Mohd Taufik

Sementara itu pemandu lori Mohd Taufik Azmi, 38, berkata, dia sanggup mengambil cuti untuk hadir pada perhimpunan ini.

"Selain menyokong perhimpunan seperti ini, pemberian dana kepada rakyat Palestin sudah cukup untuk membiayai kos-kos perubatan, makanan dan sebagainya,” katanya.

“Kita mungkin tidak boleh pergi berperang bersama-sama mereka tetapi doa dan sumbangan itu sebenarnya sekecil-kecil bantuan yang boleh kita berikan kepada mereka,” katanya.

Dijadual bermula pada 6 petang, himpunan itu antara lain bagi menyampaikan mesej Malaysia kepada dunia susulan pembunuhan Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Sebahagian rakyat Malaysia yang hadir menyertai Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
Sebahagian rakyat Malaysia yang hadir menyertai Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibarahim dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama beberapa pemimpin lain.

Pidato Solidariti Palestin dijangka turut disertai menteri kabinet antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Peladangan dan Komiditi, datuk Seri Johari Ghani dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kira-kira 20,000 orang dijangka hadir di stadium itu bagi menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!