SPR terima makluman kekosongan luar jangka DUN Mahkota

Satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan akan diadakan pada 13 Ogos ini bagi membincangkan pelaksanaan PRK itu. Indera Ikmalrudin (gambar kecil)
Satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan akan diadakan pada 13 Ogos ini bagi membincangkan pelaksanaan PRK itu. Indera Ikmalrudin (gambar kecil)
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima makluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada Jumaat.

Setiausahanya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan akan diadakan pada 13 Ogos ini bagi membincangkan pelaksanaan PRK itu.

"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkhashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota, Johor.

"Berdasarkan Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Bahagian Kedua, Fasal (5) Perkara 23, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari SPR menerima pemakluman berlakunya kekosongan tersebut.

"Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Ketua Wanita UMNO Kluang yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor sebelum itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HEBHK akibat pendarahan dalaman.

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sharifah Azizah merupakan ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!