Anwar mahu PKR bangkit, hidupkan semula reformasi demi perjuang rakyat Sabah

Anwar menyempurnakan perasmian Deklarasi Kinabalu sempena Himpunan Perdana Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Anwar menyempurnakan perasmian Deklarasi Kinabalu sempena Himpunan Perdana Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu parti itu bangkit dan seterusnya memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

Beliau yang juga Perdana Menteri meminta supaya PKR Sabah tidak mempertahankan pemimpin lapuk di Sabah.

"Hari ini, dengar Presiden Keadilan berucap, saya nak Keadilan bangkit di Sabah ini, bangkit memperjuangkan rakyat Sabah.

"Bukan mempertahankan dua kerat pemimpin lapuk di negeri Sabah. Apa ingat saya Perdana Menteri, Menteri Kewangan boleh tipu angka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Pidato Perdana di Himpunan Perdana Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.

Beliau juga mahu semangat reformasi dalam PKR digilap semula bagi memastikan masa depan Sabah terjamin.

"Ini saja pesanan saya, saya nak gilap semula seperti mana saya percaya rakan-rakan kita dalam kalangan pemimpin menyampaikan gesaan itu, semangat kita semangat reformasi harus digilap semula.

"Kita berjuang ini kerana keyakinan dan cita-cita dan untuk menjamin masa depan lebih baik bagi negeri, bagi keluarga kita, negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa PKR Sabah di peringkat umbi diperkukuhkan dan seterusnya kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diteruskan.

"Jadi anggota mesti bertambah, ranting-ranting mesti giat, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita mesti berkesan kerja mereka, dan cabang-cabang mesti hidup dengan segar.

"Daripada sekarang, balik terus nyatakan kita harus kibarkan semula bendera Keadilan dengan gagah dan megah di seluruh Sabah.

"Kita akan bersama, seperti yang saya sebutkan kepada Ketua Menteri, rakan-rakan yang sealiran, yang faham kepentingan rakyat yang ikut prinsip-prinsip tatakelola yang serius, Insya-ALLAH kita akan kerjasama supaya hidup satu muafakat perpaduan Madani di Sabah seperti mana di peringkat Persekutuan," katanya.

Sebelum itu, kira-kira 15,000 rakyat Sabah termasuk ahli PKR Sabah 'berkampung' sepanjang program Himpunan Perdana Rakyat yang bermula seawal jam 8 pagi.

Turut hadir menyampaikan ucapan ialah Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!