PRK Nenggiri: Isu nasional dijangka tidak pengaruhi sokongan pengundi

Mohd Azmawi (dua dari kanan) berbual bersama golongan muda ketika turun berkempen di Kampung Bertam Lama, Gua Musang pada Ahad.
Mohd Azmawi (dua dari kanan) berbual bersama golongan muda ketika turun berkempen di Kampung Bertam Lama, Gua Musang pada Ahad.
A
A
A

GUA MUSANG - Isu nasional termasuk penyasaran subsidi diesel dan kenaikan harga barang dijangka tidak akan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap mana-mana parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Calon Barisan Nasional (BN) PRK Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, ekoran itu beliau enggan ambil pusing mengenai isu nasional yang dimainkan pembangkang.

"Isu nasional saya tak nak sentuh kerana walau sesiapa pun yang menjadi kerajaan, isu itu masih sama.

"Sebab saya melaluinya (berpengalaman berdepan dan menjelaskan tentang isu-isu nasional) bermula 2018 sehingga sekarang," katanya.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda UMNO Gua Musang itu berkata demikian kepada pemberita ketika turun berkempen di Kampung Bertam Lama di sini pada Ahad.

Mohd Azmawi, 38, atau lebih dikenali sebagai Awie berkata, isu kenaikan harga barang sentiasa dicanang setiap kali pilihan raya sama ada pada PRK, Pilihan Raya Negeri (PRN) mahu pun ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

"Setiap kali PRU, PRN atau PRK isu ini sentiasa diketengahkan oleh semua pihak sama ada semasa kita di dalam kerajaan atau pembangkang," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Azmawi memberitahu, daripada program turun padangnya ke kampung-kampung untuk berkempen, beliau mendapati rakyat mahukan wakil rakyat yang boleh sentiasa berada di kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah ini hari kedua saya berkempen dan menyantuni pengundi-pengundi bagi menambat hati serta merayu agar dapat memberi undi kepada saya.

"Orang kampung mendambakan seseorang yang sentiasa berada di tempat mereka.

"Pembangunan semestinya rakyat mahu tapi yang penting mereka nak cari wakil rakyat atau perwakilan yang sentiasa bersama mereka (boleh mendengar denyut nadi)," katanya.

Ditanya mengenai kemahuan rakyat Kampung Bertam Lama yang mengharapkan masalah banjir di kawasan mereka diatasi, Mohd Azmawi menegaskan, isu itu semestinya akan ditangani di peringkat BN atau UMNO tidak kira beliau menjadi wakil rakyat atau tidak.

Namun, Mohd Azmawi berkata, jika dipilih sebagai wakil rakyat, semestinya ia akan menjadi tanggungjawab beliau kepada rakyat.

PRK Nenggiri yang akan berlangsung pada 17 Ogos depan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mohd Azmawi dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang menggunakan logo Pas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!