Kastam Kelantan rampas 7,100kg karkas babi

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 7,100 kilogram karkas babi dipercayai diseludup dari negara jiran yang dianggar bernilai RM106,500 di Jalan Pengkalan Kubor-Kota Bharu, Rabu lepas.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan dilakukan Pasukan Marin JKDM Penguatkuasaan Pengkalan Kubor selepas mengekori dan menahan sebuah treler membawa kontena dipandu lelaki di jalan berkenaan.

"Modus operandi ialah membawa masuk karkas itu dari negara jiran melalui pangkalan haram. Mereka (penyeludup) juga menggunakan pelbagai jenis kenderaan sama ada lori atau treler," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, karkas babi diklasifikasikan sebagai barang larangan import bersyarat yang tertakluk di bawah Butiran 1(1) Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tujuan pengimportan.

"Rampasan barang seludup itu melibatkan cukai dianggar RM42,600 manakala treler beserta kontena dianggar RM500,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!