Tiada ajaran sesat di Melaka - Exco

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tidak menerima sebarang aduan berhubung pergerakan kumpulan ajaran sesat yang sedang dipantau di negeri Johor menular ke negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman, berkata, bagi memastikan ideologi ajaran sesat tidak berkembang di Melaka, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau dari semasa ke semasa.

Menurutnya, sebelum ini fahaman seperti Millah Abraham pernah dikesan di negeri ini sejak 2016, namun telah diwartakan sebagai ajaran sesat selain Hizbur Tahrir pada 2023.

"Kita JAIM dan PDRM akan memantau agar ajaran sesat ini tidak berkembang antaranya Millah Abraham, Suhaini Mohammad (Sihulk) dan Hizbur Tahrir.

"Namun sehingga kini ia tidak lagi dikesan berlaku di Melaka," katanya.

Rahmad (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas merasmikan penutup Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE 2024) anjuran GISB di MITC, Ayer Keroh, di sini, pada Ahad.
Rahmad (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas merasmikan penutup Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE 2024) anjuran GISB di MITC, Ayer Keroh, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan penutup Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE 2024) anjuran GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali dan Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Artikel Berkaitan:

Rahmad diminta mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memantau rapat lima daripada 19 ajaran sesat yang telah difatwakan haram di negeri itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai ajaran sesat di negeri itu segera melaporkannya kepada JAIM atau PDRM.

"Jika berlaku apa-apa aktiviti ajaran-ajaran yang meragukan, tolong laporkannya segera kepada kami kerana dikhuatiri kita terlepas pandang kes-kes yang terpencil," katanya.

Tahun lalu, seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat Sihulk ditahan di rumahnya di Jasin bersama bersama isteri dan tiga anaknya.

Ia susulan JAIM membuka kertas siasatan terhadap kumpulan itu selepas tular video di media sosial pada 20 Mac tahun lalu mengenai dua lelaki Islam di Melaka yang telah memberi kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!