‘Keluarga Ismail Haniyeh ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia’ - Mujahid

Mujahid ketika menyampaikan ucapan semasa Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil pada Ahad.
Mujahid ketika menyampaikan ucapan semasa Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli keluarga Allahyarham Ismail Haniyeh dan seluruh anggota kepimpinan Hamas menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa berdiri teguh menentang kekejaman Zionis Israel.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebaik pulang dari Doha, Qatar petang tadi.

Senator Dewan Negara itu berkata, pihaknya menyaksikan sendiri bahawa hanya Malaysia yang menghantar wakil rasmi iaitu Timbalan Menteri Dalam Menteri, Datuk Seri Shamsul Anuar ke pengebumian Haniyeh di Doha.

“Ini memberikan satu mesej kepada dunia bahawa kerajaan tidak akan sama sekali meninggalkan penderitaan saudara kita di Palestin.

“Penderitaan Palestin yang disaksikan dunia iaitu genosid memang terang-terangan berlaku di mata masyarakat.

“Maka, kita sepatutnya membela nasib mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beserta Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhammad Sabu; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta ramai lagi.

Tujuan himpunan berkenaan diadakan antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis terhadap bumi Palestin.

Artikel Berkaitan:

Antara program yang diselitkan sepanjang himpunan berlangsung adalah Pidato Solidariti Palestin, solat Maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas, persembahan nasyid dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Kira-kira 40 wakil diplomatik atau duta luar negara di Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) turut hadir ke himpunan berkenaan bagi menyatakan solidariti bersama-sama.

Mujahid memaklumkan, pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan Qatar kerana memberikan kebenaran untuk menyaksikan pengebumian jenazah Haniyeh secara langsung, malah kos ditanggung sepenuhnya.

"Saya yakin pemergian Haniyeh menunjukkan bukti bahawa beliau bukan sahaja mati syahid dengan perjuangan suci ini dimuliakan, mereka yang datang saksikannya juga dimuliakan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!