[VIDEO] Tata cara dunia sudah hancur, penjenayah perang terus diberi muka - Mat Sabu

A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan Israel sepatutnya tidak boleh menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 kerana seluruh dunia mengecam tindakan zalimnya ke atas Palestin.

Menurutnya, kemeriahan sukan dunia itu jadi terbantut dengan penyertaan atlet dari negara haram berkenaan yang berterusan dicemuh.

“Tata cara dunia sudah hancur, keputusan ini tak pernah dihormati oleh Amerika Syarikat, Britain Israel.

“Penjenayah perang boleh berucap di kongres Amerika, sedangkan Netanyahu (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) diisytihar sebagai penjenayah perang yang terlibat dalam genosid, apa semua ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata Bukit Jalil pada Ahad.

Mohamad ketika berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata Bukit Jalil pada Ahad. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Mohamad ketika berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata Bukit Jalil pada Ahad. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah Negara berkata, timbang tara sukan juga sudah hancur.

“Negara Rusia, Belarus tidak dizinkan masuk Olimpik, tetapi Israel boleh masuk Olimpik.

“Apa jadi sekarang, bandar Paris menjadi sunyi, minyak wangi tidak laku di Paris kerana rakyat Perancis berdemo menentang penyertaan Israel dalam Olimpik,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beserta Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta ramai lagi.

Objektif himpunan berkenaan diadakan antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis terhadap bumi Palestin.

Antara program yang diselitkan sepanjang himpunan berlangsung adalah Pidato Solidariti Palestin, solat Maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas, persembahan nasyid dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Kira-kira 40 wakil diplomatik atau duta luar negara di Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) turut hadir ke himpunan berkenaan bagi menyatakan solidariti bersama-sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!