PM perlu buat ketetapan, segera hentikan amalan 'ufti' - Bersih

Laporan Sinar Ahad. Gambar kecil: Muhammad Faisal
Laporan Sinar Ahad. Gambar kecil: Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa segera membuat ketetapan menghentikan amalan pemberian hadiah, keraian atau tajaan dalam program perkhidmatan awam agar sebarang jenis bibit-bibit rasuah dapat dihindari.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, usaha membanteras rasuah adalah meluas dan perlu untuk ditangani melibatkan perkara yang mungkin dianggap kecil seperti pemberian ‘ufti’.

Justeru menurutnya, kebimbangan yang disuarakan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Garis panduan yang lebih ketat harus dibuat dan dilaksanakan termasuk untuk mengurangkan dan menghentikan amalan sebegini.

“Ketetapan ini harus dilakukan oleh Perdana Menteri sebagai sebahagian dari National Anti Corruption Strategy 2024-2028 (NACS) yang dilancarkan beliau pada Mei lalu.

“Saya tegaskan amalan ini harus dihentikan. Jika tidak, dikhuatiri ia akan menjadi budaya yang tidak sihat apa lagi ia akan terdedah kepada unsur-unsur rasuah,” katanya pada Ahad.

Pada Sabtu, Ismail mendedahkan terdapat aduan apabila kakitangan awam terpaksa menyediakan peruntukan untuk menyambut ‘tetamu’ yang turun padang contohnya jamuan makan malam, bermain golf dan lain-lain.

Sehubungan itu, Ismail berkata, budaya menyambut ketua jabatan atau pihak atasan dalam program turun padang dengan jamuan mewah, pemberian hadiah atau menjalankan acara lain untuk meraikan harus dibuat secara telus, dikurangkan atau lebih baik dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal senada dengan apa yang disuarakan Ismail kerana amalan tersebut dikhuatiri akan membuka kepada bibit-bibit rasuah apabila tiada ketelusan dalam menyediakan wang untuk memberi hadiah atau imbuhan kepada pegawai atasan.

“Apa lagi ia menimbulkan persoalan mengapa perlu pegawai bawahan bersusah payah menyediakan imbuhan untuk pegawai atasan sedangkan ia bukan kewajipan yang tertera dalam skop pekerjaan perkhidmatan.

“Melihat ke hadapan, kita harus lakukan reformasi kepada amalan-amalan sebegini yang boleh mendedahkan kepada unsur-unsur rasuah dalam perkhidmatan awam,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!