Belum tua lagi sudah menyesal keluar KWSP

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEBELUM dapat duit, konon janji pada diri nak keluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kegunaan kecemasan sahaja.

Ada juga berjanji tak mahu sentuh langsung duit itu untuk berbelanja cuma nak simpan atau melabur.

Tapi lain ceritanya bila duit sudah dalam tangan, macam-macam hendak dibeli walaupun sedar duit itu adalah simpanan untuk hari tua.

Ramai pula guna alasan klise takut kempunan sebelum sempat merasa, lebih baik belanja duit itu, nanti mati tak sempat guna. Lagipun duit sendiri apa salahnya.

Ini situasi berlaku apabila segelintir pencarum menyalahgunakan inisiatif kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Ironinya, bukan sahaja rakyat yang betul-betul terdesak mengeluarkan wang persaraan itu, tapi golongan yang tidak berapa terjejas dan masih dapat gaji setiap bulan pun ‘gelabah’ buat pengeluaran.

Tidak dinafikan inisiatif kerajaan membenarkan tiga kali pengeluaran KWSP membantu memberi talian hayat kepada golongan yang sangat memerlukan dek terjejas pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, selepas empat tahun sejak inisiatif itu diperkenalkan, kini mula kedengaran luahan penyesalan pencarum mengeluarkan wang persaraan mereka.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini media melaporkan, ada pencarum mengakui telah tersilap langkah apabila membuat pengeluaran wang menerusi pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

Menurut mereka, kebanyakan wang yang dikeluarkan sebelum ini sama ada menerusi i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar telah habis digunakan.

Menyesal bila duit persaraan kononnya dikeluarkan untuk kecemasan sudah digunakan beli telefon bimbit baharu, sport rim kereta, perabot mewah dan lain-lain memenuhi kehendak.

Situasi itu menyebabkan ada pencarum yang memilih untuk tidak memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera atau Akaun 2 ke Akaun Fleksibel yang baru diperkenalkan.

Jika teruskan pengeluaran, nampaknya makin susutlah wang persaraan.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, rakyat perlu mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM240,000 agar dapat bersara pada usia 55 tahun secara bermaruah.

Simpanan tersebut merupakan anggaran yang boleh dibelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan selepas golongan tersebut bersara.

Lebih membimbangkan apabila 6.3 juta ahli KWSP berumur bawah 55 tahun atau 48 peratus mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September tahun lepas.

Beringatlah, Malaysia sedang menuju sebagai status negara tua menjelang 2030.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas (berumur 65 tahun dan lebih) meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus (2021) daripada keseluruhan populasi Malaysia.

Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia sudah menjadi negara menua, tambahan lagi usia penengah meningkat dari 30.1 tahun pada 2021 kepada 30.4 tahun pada 2022.

Menurut unjuran DOSM, pada 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia melebihi 60 tahun. Pada 2022, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk melebihi usia 60 iaitu usia persaraan kebanyakan rakyat Malaysia.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dengan jangka hayat penduduk Malaysia bertambah panjang iaitu 73.4 tahun berbanding 10 tahun lalu, pelbagai persediaan perlu dilakukan bagi memastikan mereka dapat menempuh usia emas dengan selesa.

Oleh itu, penulis ingatkan kepada 3.4 juta daripada 13.1 juta pencarum bawah umur 55 tahun yang membuat pengeluaran Akaun Fleksibel setakat 19 Julai lepas, gunakanlah sebaiknya wang tersebut.

Bagi yang berkira-kira mahu berbelanja wang Akaun Fleksibel, jadikan luahan penyesalan pencarum lain sebagai pengajaran. Janganlah sengsara pada usia emas bila duit persaraan sudah habis dijoli, tapi kita ‘tak mati-mati’.

* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Web Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!