Nasi lemak tanpa lemak
HIDUP ini mahal bila difikirkan
Cari makan untuk sebulan
Menabung sulit apalagi sampai
Ku harus melamar...
Ya, lirik lagu ini sangat bertepatan. Kena dengan keadaan masa kini yang serba-serbinya mahal. Contoh paling dekat ialah sajian utama sarapan rakyat Malaysia iaitu nasi lemak.
Betul, ada nasi lemak yang masih murah dijual RM1. Namun bagaimana dengan rasanya? Adakah menepati cita rasa? Setakat yang Merak Jalanan makan selama ini alhamdulillah, okey sahaja. Namun, akhir-akhir ini, kerap kali pula dapat nasi lemak yang tanpa lemak.
Ia sebenarnya bukan nasi lemak tetapi nasi biasa yang dibalut dengan daun pisang, sesudu sambal, sebiji telur yang dipotong beberapa bahagian, dua tiga biji kacang dan sehiris timun. Lepas itu dijual sebagai nasi lemak.
Alahai, itu bukan nasi lemak dik, nasi lemak bila masuk ke dalam mulut terasa lemak. Itu baru betul. Bila makan nasi tanpa lemak ini, potong terus selera. Jadi hampa. Tapi disebabkan lapar ataupun dah beli dan tak mahu membazir, terpaksa juga la makan.
Sebenarnya, Merak Jalanan suka beli makanan yang dijual di hadapan rumah, di tepi-tepi jalan atau gerai-gerai kecil, sebab Merak Jalanan nak sokong peniaga kecil terutama suri rumah.
Namun jika sudah beberapa kali Merak Jalanan dapat nasi lemak tanpa lemak, kemungkinan besar itulah kali terakhir Merak Jalanan beli di tempat tersebut.
Merak Jalanan bukanlah pakar berniaga. Namun, secara logik pun, kita tidak boleh nak kaya cepat dengan menjual produk yang kurang berkualiti dan tidak memuaskan hati pelanggan.
Sebagai peniaga kita perlu mendapat kepercayaan dan kesetiaan pelanggan terlebih dahulu, barulah untung kedua-dua pihak iaitu pembeli dan peniaga.
Nak kaya-raya mungkin lambat tetapi yang penting rezeki tak putus, sentiasa ada dan berpanjangan, insya-ALLAH. Oleh itu, kepada peniaga sekalian, sebelum nak jual sesuatu, rasa dahulu ya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!