‘Taman permainan’ buat warga emas
SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Pertama kali penulis menjejakkan kaki di pintu masuk Pusat Penuaan Aktif NTUC Health di Bukit Batok West, Singapura jelas terdengar suara riuh-rendah gelak ketawa warga emas yang seronok dengan aktiviti masing-masing.
Rasa teruja melihat bagaimana sebuah kemudahan yang menyediakan pelbagai program untuk golongan itu bergaul dengan ‘rakan sebaya’ seakan-akan seperti sebuah ‘taman permainan’ buat mereka.
Rakan media yang menyertai 16th Malaysian Journalists’ Visit Programme anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) turut disapa oleh sekumpulan warga emas ketika kami dibawa untuk mendengar sesi taklimat ringkas oleh Timbalan Ketua, Bahagian Integrasi Sistem Penjagaan, Agensi bagi Penjagaan Bersepadu, Chew Chun-Liang bersama Ketua Pusat Penuaan Aktif (AAC), Lily Yeo di NTUC Health Co-operative Limited.
Objektif utama pusat tersebut diwujudkan adalah untuk membantu warga emas daripada pelbagai kaum kekal aktif dalam meniti usia senja memandangkan satu daripada empat rakyat di Singapura dijangka berumur lebih 65 tahun menjelang 2030 berikutan kebanyakan negara maju berdepan masalah penuaan penduduk.
Menjelang 2040, negara bandar itu diunjurkan berada pada kedudukan ketiga global dengan anggaran jangka hayat penduduk kira-kira 85.4 tahun.
Pemerintah telah mengambil langkah lebih awal untuk mengatasi masalah itu memandangkan permintaan untuk perkhidmatan penjagaan warga emas juga kian meningkat, lebih-lebih lagi untuk mereka yang mengalami demensia dan penyakit seperti diabetes serta masalah pengasingan sosial.
Kemudahan itu dikatakan menarik penyertaan lebih ramai golongan wanita berbanding lelaki.
“Giliran wanita pula keluar beraktiviti manakala lelaki lebih gemar duduk di rumah apabila memasuki usia emas,” seloroh Chun-Liang.
Menurutnya, NTUC Health ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan yang berpatutan dan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan penjagaan warga emas.
Inisiatif itu bermula sejak 1997 dan terus berkembang mengikut keperluan semasa dan kini menjadi salah satu penyedia penjagaan warga emas terbesar di Singapura.
Cashew jadi pemangkin
AAC yang diperkenalkan sejak 2021 juga menyaksikan 19 pusat dibuka di sekitar komuniti dengan rancangan penambahan enam lagi kemudahan sama pada masa akan datang.
“Secara kolektif, kami menjaga lebih 45,000 warga emas di seluruh Singapura. Bagi memastikan mereka menjalani hidup lebih sihat dan bermakna, kami mencipta akronim CASHEW (Be Connected, Be Active, Be Sharp, Be Happy, Be Enriched, Be Well) untuk memberikan program berkualiti tinggi dan memberi impak positif kepada mereka,” jelas Chun-Liang lagi.
Tambahnya lagi, CASHEW telah dilaksanakan di kesemua AAC sejak Januari 2023 yang juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan sosial dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Langkah memperkenalkan CASHEW di AAC NTUC Health dikatakan tepat pada masanya untuk menyokong Program Sihat Menua SG atau Age Well SG dan peralihan AAC 2.0.
Difahamkan, pusat berkenaan turut memberi penjagaan rapi kepada ‘warga emas khas’ bersama staf perubatan terlatih yang ditempatkan di aras berbeza dengan kemudahan pelbagai alatan rawatan untuk golongan itu.
Penulis sempat berbual dengan beberapa warga emas yang tidak lokek berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai program tersebut dan salah seorang daripadanya ialah Rafiah Abdul Gafar, 68, yang sibuk menyediakan kuih onde-onde buat teman-temannya pada hari kunjungan kami.
Wanita yang mesra disapa auntie itu menyatakan banyak program boleh disertai seperti talk, bersenam dan pelbagai games yang menarik.
“Saya seronok dengan aktiviti seperti menari selain dapat menggunakan pelbagai peralatan untuk menguatkan fizikal di gimnasium disediakan. Tubuh dan kesihatan kami semakin baik,” katanya sambil menambah dia menjadi ‘ahli aktif’ sejak lebih setahun lalu memandangkan pusat di komuniti tersebut dikatakan baru ditubuhkan kira-kira lima tahun lalu.
Menurutnya, lebih ramai rakan seusianya kini menyertai AAC berbanding pada awal pembukaan kemudahan itu setelah mereka mula mendapat manfaat positif daripadanya.
“Mereka juga ajar kami cara guna gajet kerana tak semua orang-orang tua tahu dan latihan itu diberikan secara percuma. Mereka juga dedahkan kami dengan isu semasa seperti cara untuk elakkan scammer dan menjaga keselamatan di rumah.
“Kami turut dibawa jalan-jalan secara percuma ke banyak tempat menarik di Singapura. Mereka akan menghantar mesej kepada kami jika ada aktiviti menarik yang boleh disertai. Antara mahu ikut serta atau tidak. Pilihan di tangan masing-masing,” ujarnya yang tinggal di kawasan berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!